Semua ahli Parlimen hantar SD, Ismail Sabri dipercayai mendahului, kata sumber


The Malaysian Insight

The Malaysian Insight difahamkan parti-parti dalam kerajaan sebelum ini mengumpulkan 114 surat akuan menamakan seorang calon iaitu Ahli Parlimen Bera Ismail Sabri Yaakob. – Gambar fail The Malaysian Insight, 18 Ogos, 2021.

SEMUA ahli Parlimen dipercayai sudah menghantar surat akuan bersumpah menyatakan calon perdana menteri pilihan mereka untuk dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong, kata beberapa sumber parti.

The Malaysian Insight difahamkan parti-parti dalam kerajaan sebelum ini mengumpulkan 114 surat akuan menamakan seorang calon iaitu Ahli Parlimen Bera Ismail Sabri Yaakob.

“Alhamdulillah, selesai. 114 diserah ke Istana Negara,” kata seorang sumber yang terlibat dalam proses pengumpulan surat akuan berkenaan, yang ditetapkan perlu diserah ke Istana Negara sebelum 4 petang hari ini.

Semua 114 surat akuan menyokong Ismail Sabri difahamkan selesai diserah ke Istana Negara kira-kira 3.30 petang.

“Ini bermakna blok Anwar Ibrahim dijangka mempunyai sokongan seramai 105 ahli Parlimen.

“Seorang ahli Parlimen berkecuali, tidak menyatakan sokongan,” tambahnya, tetapi enggan mendedahkan nama wakil rakyat berkenaan.

Anwar 105

Beberapa sumber parti pembangkang juga membayangkan Anwar mengumpulkan 105 sokongan menamakan beliau calon perdana menteri.

Ahli Parlimen Sepanggar Azis Jamman mendedahkan di Twitter, semua lapan ahli Parlimen Parti Warisan Sabah (Warisan) memilih Anwar.

“Kami mengotakan janji dan Warisan tandatangan SD sokong DSAI (Anwar) untuk memastikan 105 blok pembangkang utuh. 

“Sekarang terserah kepada DSAI untuk mendapatkan sokongan,” tulis ketua pemuda Warisan di Twitter pada 2.35 petang. Beliau berkongsi gambar dipercayai menandatangan surat akuannya.

Presiden Warisan Shafie Apdal juga malam tadi berkata pihaknya dan Pejuang, yang mempunyai empat ahli Parlimen termasuk Dr Mahathir Mohamad (Langkawi), sedia menyokong Anwar.

Ketua Penerangan Pejuang Ulya Aqamah Husamudin mengesahkan kepada pemberita ahli Parlimen partinya menghantar surat akuan mereka kira-kira 3.40 petang.

Beliau enggan mendedahkan nama pilihan tetapi berkata anggota Dewan Rakyat itu bukan dari Pejuang.

Presiden Pejuang Mukhriz Mahathir juga malam tadi berkata pihaknya tidak akan menyokong calon perdana menteri yang bekerjasama dengan kleptokrat, merujuk kepada beberapa ahli Parlimen Umno.

The Malaysian Insight telah menghubungi beberapa ahli Parlimen Pakatan Harapan (PH) namun tiada yang mahu mendedahkan jumlah ahli Parlimen yang menamakan Anwar.

PN sokong Ismail Sabri

Sumber Perikatan Nasional (PN) memberitahu gabungan itu sepakat menamakan Ismail Sabri sebagai calon pengganti Muhyiddin Yassin.

Seorang sumber yang menguruskan penghantaran dokumen ke Istana Negara berkata mereka menghantar keseluruhan 37 surat akuan ahli Parlimen daripada Bersatu (31) serta empat ahli Parlimen bebas bekas PKR dan dua ahli Parlimen dari PBS dan Star.

“Kita hantar sebelum 3 petang, dengan e-mel,” katanya.

PAS juga difahamkan selesai menghantar surat akuan 18 ahli Parlimennya sebelum 3 petang.

PN mempunyai 50 ahli Parlimen terdiri daripada wakil Bersatu, PAS dan Star.

Barisan Nasional (BN) dengan 42 ahli Parlimen dilaporkan sepakat menamakan Ismail Sabri, yang juga naib presiden Umno.

Keputusan dicapai selepas mesyuarat Pengerusi BN Ahmad Zahid Hamidi, Timbalan Presiden Umno Mohamad Hassan dan penasihat BN Najib Razak dengan ahli-ahli Parlimen Umno malam tadi.

The Malaysian Insight difahamkan Gabungan Parti Sarawak (GPS) menghantar 17 surat akuan dari melalui faksimili dari Kuching, sementara seorang ahli Parlimen gabungan itu menghantar surat akuannya dari Kuala Lumpur.

Pengerusi GPS Abang Johari Openg enggan mendedahkan nama calon pilihan mereka ketika dua kali ditanya pemberita hari ini atas alasan tidak mahu mendahului Yang di-Pertuan Agong.

“Kami serahkan kepada Yang di-Pertuan Agong untuk tentukan. Kita serahkan kepada kebijaksanaan Agong,” katanya, selepas pertemuan ahli Parlimen GPS di Kuching.

Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan menyebut seorang perdana menteri dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong dalam kalangan “seorang ahli Dewan Rakyat yang pada hematnya mungkin mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat”.

Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah akan mengadakan perbincangan khas dengan Raja-Raja Melayu pada Jumaat ini “untuk membincangkan isu-isu semasa”, dipercayai menyentuh pembentukan kerajaan baharu.

Awal hari ini, Istana Negara dalam satu kenyataan berkata perdana menteri baharu perlu mendapatkan undi percaya di Dewan Rakyat sebaik sahaja dilantik ke jawatan itu oleh Yang di-Pertuan Agong.

Kenyataan Datuk Pengelola Bijaya Diraja Ahmad Fadil Shamsuddin menyebut baginda menitahkan calon perdana menteri kesembilan itu mengemukakan usul undi percaya secepat mungkin untuk mengabsahkan dirinya mendapat kepercayaan majoriti ahli dewan.

Kelmarin, Muhyiddin menyerahkan peletakan jawatannya sebagai perdana menteri bersama anggota jemaah menterinya selepas gagal mempertahankan sokongan susulan tindakan 15 ahli Parlimen Umno menarik balik dukungan mereka kepadanya. – 18 Ogos, 2021.  


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen