PRESIDEN Bersatu Muhyiddin Yassin mengarahkan semua ahli Parlimen parti itu menyokong Ismail Sabri Yaakob sebagai calon perdana menteri, lapor Malaysiakini.
“Kami semua setuju bahawa kita akan menyokong Ismail Sabri. Itulah arahan yang diberikan oleh presiden kepada kami,” Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu Eddin Syazlee Shith dipetik sebagai berkata.
Selepas meletak jawatan perdana menteri Isnin lalu, ahli-ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) setuju untuk memberi mandat kepada Muhyiddin bagi menentukan siapa calon perdana menteri baharu.
Sementara itu Ahli MPT Bersatu Muhammad Faiz Na’aman dipetik portal Free Malaysia Today pula berkata Muhyiddin akan membuat pengumuman rasmi berhubung calon perdana menteri petang ini.
Tambahnya, semua pimpinan Bersatu diarahkan kunci mulut sehingga pengumuman dibuat.
Semua 220 ahli Dewan Rakyat perlu mengemukakan surat akuan dengan nama calon pilihan masing-masing kepada Istana Negara selewat-lewatnya 4 petang ini.
Terdahulu, akhbar The Star melaporkan Raja-Raja Melayu akan mengadakan perjumpaan khas dengan Yang di-Pertuan Agong pada Jumaat bagi membincangkan berkenaan calon perdana menteri kesembilan.
Timbalan Presdien PAS Tuan Ibrahim Tuan Man selepas bermesyuarat dengan pemimpin tertinggi Barisan Nasional (BN) tengah hari tadi berkata semua 18 ahli Parlimen parti itu menyokong penuh Ismail Sabri sebagai calon perdana menteri.
Selepas pemimpin kanan Umno bermesyuarat malam tadi, setiausaha agung parti Ahmad Maslan mengumumkan Ismail Sabri calon Umno dan BN untuk jawatan perdana menteri.– 18 Ogos, 2021.
Komen