Polis Hong Kong tahan 4 pelajar universiti kerana galak keganasan


Superintendan Kanan Unit Keselamatan Negara Hong Kong Steve Li Kwai-Wah berkata empat pelajar itu ditahan hari ini.– Gambar AFP, 18 Ogos, 2021.

EMPAT pelajar universiti terkemuka Hong Kong ditahan hari ini, kata polis, atas dakwaan menggalak keganasan.

Mereka ditahan susulan kesatuan pelajar mengeluarkan kenyataan kontroversi berhubung insiden serangan solo (lone wolf) terhadap seorang pegawai polis bulan lalu.

“Empat pelajar lelaki berusia antara 18 hingga 20 tahun ditahan hari ini. Mereka adalah ahli kesatuan mahasiswa dan majlis kesatuan pelajar terbabit,” kata Superintendan Kanan Unit Keselamatan Negara Steve Li Kwai-Wah kepada pemberita.

Pada 1 Julai lalu, seorang anggota polis ditikam seorang lelaki di pusat beli belah sebelum bertindak menikam dirinya sendiri sehingga mati. 

Susulan kejadian itu, kesatuan pelajar University of Hong Kong (HKU) mengeluarkan kenyataan dengan menyatakan kesedihan atas kematian penyerang terbabit serta menghargai “pengorbanannya”.

Kenyataan itu terus mencetus kontroversi walaupun selepas ditarik balik dan kesatuan memohon maaf.

“Kenyataan itu jelas sekali menyokong, mengagung keganasan dan serangan yang serangan tidak bertanggungjawab serta menggalakkan perbuatan bunuh diri,” tambah Li.

Pejabat kesatuan itu, stesen televisyen kampus dan pejabat mahasiswa HKU diserbu polis bulan lalu. Ahli kesatuan juga dilarang keluar dari kawasan kampus.

Mengikut undang-undang keselamatan negara Hong Kong, mereka yang didapati bersalah menggalak keganasan boleh dihukum penjara 10 tahun.

Undang-undang itu diluluskan Beijing tahun lalu sebagai tindak balas terhadap tunjuk perasaan pro-demokrasi yang sering berlaku dua tahun lalu. – AFP, 18 Ogos, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen