ISMAIL Sabri Yaakob bukan calon perdana menteri pilihan pertama Umno, kata Ahmad Maslan hari ini.
Setiausaha Agung Umno itu berkata Ismail Sabri pilihan ketiga selepas presiden parti Ahmad Zahid Hamidi dan timbalan presiden Mohamad Hasan.
“Zahid putuskan untuk tarik diri dari dicalonkan dalam mesyuarat biro politik, dan pada mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi semalam beliau tidak mahu dicalonkan.
“Yang kedua dalam senarai itu ialah Mohamad tetapi beliau tidak penuhi kriteria sebab beliau cuma Adun.
“Yang berikutnya ialah Ismail Sabri. Beliau menteri kanan dan menjadi timbalan perdana menteri dalam kerajaan sebelum ini.
“Oleh itu, beliau jadi calon paling layak,” kata Ahmad Maslan kepada wartawan hari ini di ibu pejabat Umno di PWTC Kuala Lumpur.
Turut bersama dalam sidang media hari ini ialah Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man, Naib Presiden PAS Idris Ahmad dan Ahli Jawatankuasa Khas PAS Pusat Mohd Khairuddin Aman Razali.
Ahmad Maslan mengesahkan antara mereka yang hadir mesyuarat hari ini ialah Penasihat Barisan Nasional (BN), Najib Razak, Setiausaha Agung gabungan Muafaat Nasional Zambry Abdul Kadir, Ketua Pemuda Umno Asyraf Wajdi Dusuki dan Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno Azalina Othman Said.
Sementara itu, Ahmad Maslan berkata selain tiga ahli PAS dalam sidang media itu, Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan turut hadir dalam pertemuan khas di PWTC hari ini.
Mengulas mengenai masa depan gabungan Perikatan Nasional (PN), beliau berkata perkara itu tidak dibincangkan dalam mesyuarat hari ini.
“Sudah tentu kerajaan (yang akan dibentuk) akan jadi kerajaan baharu.
“Sebelum ini kita ada Pakatan Harapan, kemudian kita ada PN.
“Ini akan jadi Kerajaan Malaysia,” kata ahli Parlimen Pontian itu.
Semalam Yang di-Pertua Dewan Rakyat Azhar Azizan Harun memaklumkan semua ahli Parlimen perlu hantar surat akuan memilih perdana menteri baharu kepada Istana Negara sebelum pukul 4 petang hari ini. – 18 Ogos, 2021.
Komen