Hanya 4 kes maut libatkan individu lengkap divaksin, kata KP kesihatan


Sejak bulan lalu, Ketua Pengarah Kesihatan telah memasukkan data pesakit Covid-19 yang tidak divaksinasi bagi menekankan pentingnya diinokulasi. – Gambar fail The Malaysian Insight, 18 Ogos, 2021.

HANYA empat daripada hampir 13,000 kematian akibat Covid-19 telah divaksin sepenuhnya, kata Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah.

Memetik analisis data klinikal terbaharu, beliau berkata, angka itu cuma mewakili 0.03% kematian.

80 kematian lagi belum lengkap divaksinasi, tambah Dr Noor Hisham.

“Analisis audit data klinikal terbaharu kami berkaitan kematian menunjukkan antara keseluruhan 12,993 kematian yang direkodkan, 80 kes telah divaksinasi sebahagiannya (0.6%) dan 4 kes telah lengkap vaksinasi (0.03%),” katanya menerusi ciapan di Twitter.

Sejak bulan lalu, Ketua Pengarah Kesihatan telah memasukkan data pesakit Covid-19 yang tidak divaksinasi bagi menekankan pentingnya diinokulasi.

Semalam, dalam kenyataan media hariannya, Dr Noor Hisham berkata, 84.75% daripada 19,631 kes baharu dilaporkan, tidak pernah divaksinasi atau belum lengkap vaksinasi.

Sebahagian besar jangkitan harian baharu juga melibatkan Kategori 1 (tiada gejala) dan Kategori 2 (gejala ringan), sementara peratusan kecil berada pada yang lebih teruk berada dalam Kategori 3, 4 dan 5, ketika kadar vaksinasi nasional meningkat.

Semalam, hanya 1.6% atau 305 daripada 19,631 jangkitan baharu berada dalam Kategori 3, 4 dan 5.

Setakat semalam, 48.7% penduduk dewasa di Malaysia telah divaksinasi sepenuhnya dengan dua dos. – 18 Ogos, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen