MUHYIDDIN Yassin menerajui kerajaan lebih 17 bulan sebelum letak jawatan Isnin, mengelak diaibkan sebagai perdana menteri pertama yang kalah undi percaya di Dewan Rakyat.
Ketika parti-parti yang bersekutu dengan kerajaan Perikatan Nasional (PN) bergelut untuk kembali ke Putrajaya dengan menamakan Ismail Sabri Yaakob calon perdana menteri baharu, The Malaysian Insight meninjau yang untung dan rugi susulan peletakan jawatan Muhyiddin.
UNTUNG
Demokrasi berparlimen
Dengan kuasa yang berpusat di atas, wakil rakyat blok kerajaan tidak mungkin mengundi menentang perdana menteri, biar seburuk sekali pun pentadbirannya.
Walaupun tidak pernah berlaku di Malaysia, ia amalan biasa dalam demokrasi berparlimen di negara-negara lain. Dua bulan lalu, Perdana Menteri Sweden Stefan Lofven juga kalah undi percaya di Parlimen.
Walaupun Muhyiddin mengelak undi percaya di Parlimen dengan letak jawatan sebelum sidang bermula awal bulan depan, ia sebenarnya menjadi landasan kebertanggungjawaban yang penting.
Pentadbiran dan pemimpin yang gagal boleh dan seharusnya disingkir secara demokratik dan bukan melalui percaturan penuh muslihat di hotel.
Kemenangan besar untuk demokrasi.
Rakyat Malaysia
Pada 1 Mac 2020, hari Muhyiddin jadi perdana menteri, jumlah kes Covid-19 di Malaysia 29 dan tiada kematian. Pada hari terakhir jadi perdana menteri, jumlah kes mencecah lebih 1.4 juta dengan lebih 12,500 meninggal dunia.
Biarpun pandemik Covid-19 begitu luar biasa dan mengejutkan dunia, pentadbiran Muhyiddin tidak boleh cuci tangan daripada rekod buruk ini.
Apatah lagi ia mengambil alih kuasa melalui percaturan yang tidak beretika dan tidak bermoral dan setelah itu memaksa pilihan raya negeri tidak perlu di Sabah. Pilihan raya negeri itu mencetuskan gelombang kedua Covid-19 yang tidak terbendung hampir setahun.
Rakyat Malaysia untung selepas Muhyiddin letak jawatan, melihat pada dasar pencegahan penyakit yang kurang masak, pelaksanaan yang pilih kasih dan pelanggaran demokrasi melalui perintah darurat untuk kekal kuasa.
Umno 15
Tidak banyak yang menyangka Ahmad Zahid Hamidi dan Umno akan menarik sokongan kepada Muhyiddin, terutama selepas banyak dalam kalangan pemimpinnya dapat tempat dalam kerajaan dan syarikat berkaitan kerajaan.
Namun ketika ada ancaman daripada Pendaftar Pertubuhan (Ros) dan pemberontakan diketuai Naib Presiden Ismail Sabri Yaakob, beliau akhirnya bertindak.
Secepat kilat Zahid membendung penentangan terhadapnya dan menukar pandangan umum tentang Umno, menjadi semacam penyelamat daripada kerajaan PN.
Tetapi itu hanya separuh cerita kerana kumpulan ahli Parlimen ini mungkin akan menghantar PN kembali ke pentas kuasa atau mengatur jajaran baharu.
Mereka jadi perhatian dalam persaingan siapa jadi perdana menteri.
Ismail Sabri Yaakob
Ahli Parlimen Bera empat penggal ini tidak banyak buat silap semasa mendaki takah jadi naib presiden Umno dan timbalan perdana menteri. Namun, beliau juga tidak begitu menonjol sepanjang kerjaya politiknya sejak 1987.
Sedikit calar selama kerjaya politiknya yang agak sepi ialah ketika beliau menyeru orang Melayu memulau peniaga Cina dan membuka pusat beli-belah digital Melayu. Kedua-duanya tidak maju kerana kebanyakan rakyat Malaysia lebih waras.
Biarpun begitu, Ismail Sabri melonjak ke kedudukan kedua tertinggi dalam kerajaan apabila Umno mengancam menarik sokongan kepada Muhyiddin.
Beliau kini mengepalai lebih ahli Parlimen Umno berbanding Zahid dan di ambang jadi perdana menteri susulan perselisihan antara Bersatu dan Umno.
Selepas pemimpin kanan Umno bermesyuarat malam tadi, setiausaha agung parti Ahmad Maslan mengumumkan Ismail Sabri calon Umno dan Barisan Nasional untuk jawatan perdana menteri.
RUGI
Muhyiddin Yassin
Kalau tidak kerana Langkah Sheraton, peluang Muhyiddin jadi perdana menteri boleh dikatakan sama seperti Tengku Razaleigh Hamzah.
Tetapi percaturan politik berlaku dan potretnya sebagai perdana menteri Malaysia kelapan tergantung di dinding bangunan Parlimen.
Muhyiddin akan dikenang sebagai perdana menteri yang memulakan tempoh jawatannya dengan mengisytiharkan beliau bukan pengkhianat walaupun selepas mengkhianati rakan politiknya dalam Pakatan Harapan.
Beliau akan tercatat dalam sejarah sebagai perdana menteri paling singkat setakat ini, yang menyaksikan jangkitan dan kematian Covid-19 meningkat setiap kali mengumumkan dasar baharu.
Beliau juga diingati sebagai perdana menteri ketika ada rakyat mengibarkan bendera putih meminta bantuan makanan.
Selebihnya, beliau akan dikenang sejarah sebagai perdana menteri menagih sokongan dan menggunakan perintah darurat untuk kekal kuasa.
Abah atau tidak, semua ini dirakam sejarah.
MCA dan MIC
Semua orang tahun sahabat lama politik Umno, MCA dan MIC merosot sejak 2008. Daripada 31 dan sembilan ahli Parlimen pada 2004, MCA hanya ada dua kerusi sementara MIC satu.
Sebagai rakan kongsi asal PN, Umno, MCA, dan MIC saling mendukung satu sama lain ketika diperlukan. Daripada perjuangan menuntut kemerdekaan sehinggalah tragedi 13 Mei dan beberapa kemelesetan ekonomi, mereka selalu ada bersama.
Sehinggalah Muhyiddin jadi perdana menteri.
Ketika diperlukan, MCA dan MIC tidak bersama Umno menarik sokongan kepada Muhyiddin.
Setelah kerajaan PN jatuh, bagaimana dua parti ini bersahabat semula dengan rakan lamanya.
Apatah lagi kerusi mereka sekarang pun dimenangi dengan undi Umno.
Umno 23
Sedangkan Nabi ampunkan umat.
Selepas menolak seruan pucuk pimpinan parti untuk menarik sokongan kepada Muhyiddin, 23 ahli parlimen Umno memberi pula sokongan kepada Ismail Sabri untuk jadi perdana menteri.
Apabila pilihan raya umum tiba nanti, adakah pimpinan Umno dan penyokong parti akan memilih mereka? – 18 Ogos, 2021.
Komen