Warisan sokong Anwar PM jika ada majoriti, kata Shafie 


Elill Easwaran

Presiden Warisan Shafie Apdal berkata parti itu akan menyokong pencalonan Anwar Ibrahim sebagai perdana Menteri dengan syarat ketua pembangkang itu memperoleh majoriti di Dewan Rakyat. – Gambar fail The Malaysian Insight, 17 Ogos, 2021.

WARISAN akan menyokong pencalonan Anwar Ibrahim sebagai perdana Menteri dengan syarat ketua pembangkang itu memperoleh majoriti di Dewan Rakyat, kata Shafie Apdal.

Presiden Warisan itu berkata, pembangkang bersetuju bahawa Pakatan Harapan kini mempunyai 105 ahli Parlimen yang menyokong mereka.

“Kami sudah sepakat kita ada 105 ahli Parlimen sekarang. Jika Anwar berjaya mencukupkan majoriti (sekurang-kurangnya 111 dari 220 ahli Dewan Rakyat), maka Anwar akan menjadi PM.

“Jika dia tidak berjaya dan saya pula berjaya mencukupkan sokongan majoriti itu, semua pemimpin Pakatan Harapan akan menyokong saya.

“Saya sudah bercakap dengan Anwar, Mohd Sabu dan juga Lim Guan Eng,” kata Shafie dalam temuramah bersama Astro Awani malam ini. 

Tambahnya, beliau dan Anwar adalah calon perdana menteri daripada pembangkang.

Shafie juga menafikan khabar angin beliau akan menyokong pencalonan pihak lain seperti yang digembar-gemburkan.

“Ada pihak mendakwa saya akan menjadi timbalan perdana menteri dan juga menteri kewangan pihak sebelah sana. Saya menafikan dan kekal dengan pembangkang,” katanya.

Awal hari ini, Ketua Pemuda Warisan, Mohd Azis Jamman berkata, Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim memerlukan tujuh ahli Parlimen lain dan 105 yang sudah menyokongnya untuk mendapatkan sokongan majoriti menjadi perdana menteri.

Menerusi Twitter beliau berkata, parti Sabah bersedia menyokong Anwar sekiranya beliau mempunyai “angka ajaib”.

“Warisan akan menyokong Anwar menjadi PM jika beliau melepasi ‘angka ajaib’ dan berharap Pakatan Harapan juga memberi hak penolakan pertama kepada Shafie Apdal (presiden Warisan) jika Anwar tidak melepasi angka ajaib,” kata ahli Parlimen Sepanggar itu merujuk kepada Presiden Warisan, Mohd Shafie Apdal. 

Dalam maklum balas terhadap pertanyaan pengguna Twitter lain bagi menjelaskan “angka ajaib”, Azis berkata parti pembangkang kini mempunyai 105 ahli Parlimen dan kekurangan tujuh lagi untuk mendapat majoriti sederhana dengan minimum 111 daripada 220 ahli Parlimen. – 17 Ogos, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen