SPRM tahan 5 individu termasuk jurutera jabatan kerajaan


Lima individu termasuk seorang jurutera sebuah jabatan kerajaan ditahan membantu siasatan berhubung kes meminta dan menerima rasuah daripada kontraktor dianggarkan lebih RM130,000. – Gambar fail The Malaysian Insight, 17 Ogos, 2021.

SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor menahan lima individu termasuk seorang jurutera sebuah jabatan kerajaan bagi membantu siasatan berhubung kes meminta dan menerima rasuah daripada kontraktor dianggarkan lebih RM130,000.

Sumber berkata, turut ditahan dua penolong jurutera jabatan kerajaan manakala dua lagi ialah pengurus syarikat kontraktor.

“Kesemua suspek lelaki berusia 37 hingga 45 tahun itu ditahan di Pejabat SPRM Selangor antara jam 1.30 hingga 5 petang tadi selepas hadir memberi keterangan,” katanya.

Sumber berkata, jurutera dan seorang penolong jurutera yang bertugas di sebuah daerah di Selangor itu dipercayai meminta dan menerima wang rasuah berjumlah lebih RM120,000 daripada kontraktor sekitar tahun 2019 hingga tahun lalu.

“Rasuah itu diberikan kontraktor bagi mendapatkan kerja-kerja pembinaan jalan raya dan pembinaan sekolah tahfiz di daerah tersebut.

“Kontraktor terbabit juga tidak layak untuk memperoleh projek tersebut namun telah menggunakan nama syarikat-syarikat lain bagi membolehkan mereka mendapat projek itu,” katanya.

Manakala, sumber berkata, seorang lagi penolong jurutera yang bertugas di tempat yang sama pula dipercayai telah meminta dan menerima rasuah berjumlah lebih RM8,000 daripada sebuah syarikat kontraktor sebagai balasan memperakukan kerja-kerja siap bagi penyelenggaraan dan pembaikan kecil ruang pejabat di jabatan tersebut.

Sementara itu, Pengarah SPRM Selangor, Alias Salim ketika dihubungi mengesahkan penahanan terbabit dan berkata kes disiasat di bawah Seksyen 17 (a) Akta SPRM 2009. 

Kesemua suspek akan dibawa ke Mahkamah Majistret Shah Alam, Selangor pada jam 9 pagi esok untuk permohonan reman. – 17 Ogos, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen