43 kes baharu varian Delta dikesan di Malaysia


IMR mengenal pasti 43 kes baharu Covid-19 dengan varian Delta di negara ini, dengan 38 daripadanya dikesan di Selangor. – Gambar fail The Malaysian Insight, 17 Ogos, 2021.

INSTITUT Penyelidikan Perubatan (IMR) mengenal pasti 43 kes baharu Covid-19 dengan varian Delta, kata Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah hari ini.

Beliau berkata 38 daripadanya dikesan di Selangor sementara bakinya di Kuala Lumpur.

Setakat ini, 710 kes membabitkan varian membimbangkan (VOC) dan varian diwaspadi (VOI) dikesan di Malaysia, katanya.

Daripada jumlah itu, 690 ialah VOC sementara 20 lagi VOI.

Varian Delta membentuk jumlah tertinggi kes VOC.

“Secara kumulatif, bagi VOC, terdapat 467 kes varian Delta, 209 varian Beta dan 14 kes varian Alpha dikesan setakat ini.

“Bagi VOI, terdapat 13 kes varian Theta, empat varian Kappa dan tiga kes varian Eta,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Varian Delta yang kali pertama dikesan di India, adalah jenis paling cepat berjangkit dan pada masa ini menjadi punca kepada lonjakan jangkitan di kebanyakan negara di dunia.

VOI ialah varian yang disyaki sama ada lebih mudah berjangkit berbanding strain awal, menyebabkan penyakit lebih teruk, atau tahan terhadap perlindungan daripada vaksin. – 17 Ogos, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen