KABINET baharu harus dipimpin oleh golongan professional dan bukannya ahli politik untuk mengekang penularan wabak Covid-19 di negara ini, kata Gabungan Kesihatan Malaysia (MHC) hari ini.
Mereka berkata, kerajaan baharu perlu telus, berasaskan sains dan tidak bekerja secara silo dalam memerangi wabak itu.
“Untuk mencapai semua itu, kami mendesak agar kabinet baharu dipimpin oleh professional yang kompeten, bukan ahli politik.
“Ahli politik mesti menjadi sebahagian daripada penyelesaian, bukan masalah. Kami menuntut semua pemimpin politik dan kerajaan Malaysia yang baharu mengutamakan rakyat serta kesihatan kita,” kata mereka dalam satu kenyataan hari ini yang ditandatangani oleh 20 organisasi dan 12 individu.
Ketelusan, berasaskan sains dan memastikan penyelarasan yang lebih baik merupakan tiga pelajaran penting yang perlu dipelajari kabinet baharu “dari peralihan politik pada Mac 2020”, tambah MHC.
“Berkongsi semua data pandemik dengan ketelusan yang tinggi akan meningkatkan kepercayaan dan membolehkan orang ramai membuat penilaian risiko yang lebih tepat untuk diri mereka sendiri dan keluarga. Ketelusan data membantu pengagihan sumber yang lebih baik,” menurut kenyataan itu.
Dalam membuat keputusan berdasarkan bukti kesihatan, MHC berkata kerajaan baharu mesti mengikut bukti saintifik, memandangkan pemahaman tentang Covid-19 akan berkembang dan bertambah baik.
“Kami juga mendesak kerajaan untuk mengeluarkan bukti, metodologi dan alasan mereka membuat keputusan penting, bukannya mengumumkan keputusan secara top-down.
“Prosedur operasi standard mestilah berasaskan bukti, mudah difahami dan dilaksanakan tanpa pilih kasih,” katanya. – 17 Ogos, 2021.
Berita penuh di sini.
Komen