Agong titah nasihat suasana politik baharu, kata Anwar


Elill Easwaran

Ketua pembangkang Anwar Ibrahim berkata pemimpin parti politik yang dipanggil ke Istana Negara hari ini mencapai persefahaman ke arah membentuk lanskap baharu politik. – Gambar fail The Malaysian Insight, 17 Ogos, 2021.

PEMIMPIN parti politik yang dipanggil mengadap ke Istana Negara hari ini mencapai persefahaman ke arah “hala tuju baharu” yang akan membentuk suatu lanskap baharu politik, kata ketua pembangkang Anwar Ibrahim.

Beliau menyebut bentuk politik yang membangun dan bukannya menghukum, seperti titah nasihat Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah kepada ketua dan wakil parti politik yang mengadap di Istana Negara.

“Isunya bukan saja pelantikan seorang perdana menteri baharu tetapi lebih penting, seperti yang ditekankan oleh Yang di-Pertuan Agong dan Timbalan Yang di-Pertuan Agong, untuk menggagas suatu bentuk politik baharu yang lebih aman dan nyaman untuk rakyat” katanya kepada pemberita di luar Istana Negara, petang tadi.

Presiden PKR bertemu pemberita bersama Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng dan Presiden Amanah Mohamad Sabu selesai majlis mengadap Yang di-Pertuan Agong.

Majlis turut disertai ketua dan wakil parti politik termasuk Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi, Presiden Pejuang Mukhriz Mahathir, serta Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man yang mewakili presiden Abdul Hadi Awang.

The Malaysian Insight difahamkan Bersatu diwakili setiausaha agungnya Hamzah Zainuddin sementara Pengerusi Gabungan Parti Sarawak Abang Johari Openg menyertai mesyuarat secara sidang video.

Majlis mengadap berlangsung ketika 220 ahli parlimen diberi masa sehingga 4 petang esok untuk menamakan perdana menteri pilihan mereka melalui surat akuan kepada Yang di Pertuan Agong

Titah nasihat

Anwar memaklumkan Al-Sultan Abdullah memulakan majlis dengan menasihati mereka tentang pentingnya semua pihak bersatu menghadapi Covid-19 dan kesan ekonominya.

Al-Sultan Abdullah juga bertitah perdana menteri baharu akan dipilih mengikut lunas Perlembagaan Persekutuan tetapi pada masa sama politik mesti berubah.

“Yang menang jangan jadi seperti pernah berlaku ‘memakan’ yang kalah,” katanya, merumuskan titah nasihat Yang di-Pertuan Agong.

Menurut Anwar, semua pemimpin parti yang hadir nampak mempunyai konsensus untuk menghentikan politik cara lama dan membina politik baharu yang lebih membangun.

Majlis difahamkan berlangsung serentak dan bukannya berasingan seperti majlis mengadap pada Jun lalu dan ketika kemelut pembentukan kerajaan selepas pentadbiran Pakatan Harapan runtuh pada hujung Februari 2020. – 17 Ogos, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen