YIDE serah 3,000 PPE kepada JAIS untuk urus jenazah Covid-19


Yayasan Islam Darul Ehsan serah 3,000 set PPE bernilai RM104,640 kepada JAIS untuk kegunaan pengurusan jenazah Covid-19 di negeri ini. – Gambar fail The Malaysian Insight, 17 Ogos, 2021.

YAYASAN Islam Darul Ehsan (YIDE) hari ini menyerahkan 3,000 set peralatan perlindungan diri (PPE) bernilai RM104,640 kepada Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) untuk kegunaan pengurusan jenazah Covid-19 di negeri ini.

Pengurus Besarnya Nur Mohd Razali Abdullah berkata sumbangan kali kedua terdiri daripada coveral jumpsuit, pelindung muka, pelitup muka jenis N95, sarung tangan getah dan apron itu diserahkan kepada Timbalan Pengarah Operasi JAIS Salwana Ahmad Dahlan.

Nur Mohd Razali berkata pihaknya menerusi sumbangan siri pertama pada 19 Julai lepas menyerahkan 1,000 set PPE bernilai RM21, 360 kepada Pengarah JAIS Mohd Shahzihan Ahmad.

“YIDE mengucapkan terima kasih kepada semua petugas di bawah seliaan JAIS yang menyempurnakan amanah ini sebaik mungkin walaupun terdapat tempoh sukar dengan perlu menjawab tohmahan yang dilemparkan, tetapi petugas pengendali jenazah tetap melaksanakan demi menunaikan tuntutan fardu kifayah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Nur turut menzahirkan terima kasih kepada mereka yang memberi sumbangan bagi membantu golongan terkesan sepanjang tempoh sekatan pergerakan dilaksanakan.

Beliau berkata orang ramai yang ingin menyalurkan bantuan boleh berbuat demikian menerusi pautan YIDE atau terus pindahan dalam talian melalui Bank Islam YIDE bernombor 1223 40100 07330 sekali gus setiap sumbangan layak mendapat pelepasan cukai di bawah Subseksyen 44(6) Akta Cukai Pendapatan 1967 melalui resit rasmi YIDE.

Sementara itu, Salwana dalam kenyataan sama turut mengucapkan terima kasih atas keprihatinan YIDE menyalurkan sumbangan dengan segera dan pihaknya akan mengagihkan set PPE tersebut di setiap daerah bagi pengurusan jenazah Covid-19 itu. – Bernama, 17 Ogos, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen