LABUAN yang kadar vaksinasinya paling tinggi di Malaysia tidak melaporkan sebarang jangkitan hari ini ketika jumlah harian negara melaporkan 19,631 kes, lapor Kementerian Kesihatan.
Sebanyak 89.3% penduduk dewasa atau 61,188 penduduk Wilayah Persekutuan itu telah melengkapkan dua dos vaksin Covid-19.
Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah, berkata jumlah jangkitan baharu direkodkan hari ini menjadikan jumlah beban negara sebanyak 1,444,270.
Selangor mencatatkan jumlah kes tertinggi dengan 5,753 jangkitan diikuti Sabah sebanyak 2,103, katanya.
Negeri lain yang melaporkan kes baharu hari ini ialah Kuala Lumpur dengan 1,765 kes diikuti Johor (1,309), Sarawak (835), Negeri Sembilan (490), Kedah (1,863), Pulau Pinang (1,275), Kelantan (1,268), Perak (1,101), Melaka (623), Pahang (670), Terengganu (498), Putrajaya (41) dan Perlis (37).
Sementara itu, 11.06 juta individu atau 47.2% penduduk dewasa di Malaysia telah menerima dua dos vaksin sementara 17.25 juta orang atau 73.7% populasi dewasa telah menerima satu suntikan. – 17 Ogos, 2021.
Komen