SEMUA lantikan politik dalam pelbagai syarikat berkaitan kerajaan (GLC/GLIC) perlu letak jawatan serta merta selepas Muhyiddin Yassin berundur sebagai perdana menteri, kata ahli Parlimen Setiawangsa Nik Nazmi Nik Ahmad.
Beliau berkata tindakan itu yang paling wajar dan bermaruah untuk dibuat.
“Dengan peletakan jawatan perdana menteri, tiada sebab untuk mereka terus menyandang jawatan tersebut.
“Kebanyakan entiti GLC dan GLIC dijalankan dan diselia secara profesional, peletakan jawatan mereka tidak akan terlalu memberi kesan,” katanya dalam satu hantaran di Facebook hari ini.
Sebagai sebahagian daripada rancangan untuk menubuhkan kerajaan Perikatan Nasional, Muhyiddin telah menawarkan banyak jawatan dalam GLC dan GLIC kepada ahli-ahli Parlimen Barisan Nasional sebagai pertukaran kepada sokongan mereka.
Antara pelantikan GLC yang terkenal ialah Naib Presiden Umno yang juga ahli Parlimen Padang Terap, Mahdzir Khalid yang dilantik sebagai pengerusi Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan ahli Majlis Kerja Tertinggi dan ahli Parlimen Tanjung Karang Noh Omar dilantik sebagai pengerusi Perbadanan Usahawan Nasional Bhd (PUNB).
Muhyiddin akan menggalas tanggungjawab sebagai perdana menteri sementara susulan peletakan jawatannya sehingga lantikan baharu dibuat, kata Istana Negara dalam satu kenyataan semalam.
Datuk Pengelola Bijaya Diraja Ahmad Fadil Shamsuddin turut berkata, pada hemat Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pilihan raya umum bukan satu pilihan yang terbaik kerana negara masih diancam pandemik Covid-19.
Tambahnya Yang di-Pertuan Agong bertitah supaya Muhyiddin meneruskan tugas sebagai perdana menteri sehingga Seri Paduka Baginda memutuskan ada ahli Parlimen cukup sokongan untuk menggalas tanggungjawab sebagai perdana menteri baharu.
Dalam pada itu, Nik Nazmi berharap kerajaan baharu nanti mengisi kedudukan dalam GLC dan GLIC dengan golongan profesional.
“Kerajaan baharu yang bakal terbentuk nanti wajib melantik mereka yang profesional dan benar-benar layak untuk mengisi jawatan-jawatan ini, bukan perkiraan politik semata-mata.”
Semalam, Muhyiddin melepaskan jawatannya setelah hilang majoriti Parlimen berikutan penarikan sokongan 15 ahli Parlimen Umno.
Presiden Bersatu itu pada mulanya menolak untuk melepaskan jawatan, namun tawaran terakhirnya kepada pembangkang pada Jumaat gagal selepas ditolak pembangkang.
Bekas ahli politik Umno berusia 74 tahun itu menjadi perdana menteri kelapan negara pada Mac tahun lalu selepas Dr Mahathir Mohamad letak jawatan berikutan Langkah Sheraton. – 17 Ogos, 2021.
Komen