MUHYIDDIN Yassin berkata peletakan jawatannya sebagai perdana menteri semalam akan memberi beliau lebih banyak masa untuk memperkukuhkan partinya Bersatu bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Pengerusi Bersatu itu juga menegaskan beliau tidak berundur dari arena politik.
Dalam sidang media bersama editor-editor kanan media arus perdana selepas mengumumkan peletakan jawatannya semalam, Muhyiddin berkata pengundi boleh menilai sendiri prestasi Bersatu sepanjang berada dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN).
“Persiapan untuk pilihan raya sudah bermula, bukan sekaranglah.
“Tapi kita akan bentuk jentera dan akan laksanakan apa yang penting dari segi strategi kita untuk menentukan bahawa InsyaAllah rakyat sudah terlihat report card kita setahun ini baik, mungkin kalau tak ada manifesto pun dia tengok, ya, itu dia.
“Dan dijangkakan kalau begitu, mereka agak berasa selesa nak tengok muka Abah balik, sampai masa pilihan raya diadakan nanti kita serahkan balik kepada rakyat untuk menimbangkan,” katanya menerusi video yang disiarkan Astro Awani hari ini.
“Abah” gelaran yang sering digunakan Muhyiddin setiap kali berucap di televisyen sepanjang jadi perdana menteri.
“Pastinya saya ada masa yang lebih banyak. Dan saya tahu saya dah banyak pengalaman mengepalai pilihan raya,” tambah ahli Parlimen Pagoh itu.
Sementara itu, ditanya kemungkinan beliau akan dilantik semula sebagi perdana menteri, Muhyiddin dipetik Malaysiakini berkata, “Well, let’s see. Sepatutnya tidak berlaku macam ini kan. (Tapi) Saya percaya, sebelum saya berhenti ini, saya lah perdana menteri waktu itu yang mempunyai ‘majoriti’ (sokongan undi yang terbesar, meski tidak meraih majoriti).”
Muhyiddin meletak jawatan semalam selepas 532 hari menerajui kerajaan PN yang ditubuhkan pada 29 Februari lalu atas sokongan ahli Parlimen Bersatu, Umno, PAS, Gabungan Parti Sarawak, Parti Bersatu Rakyat Sabah, Parti Solidariti Tanah Airku, MCA dan MIC.
Muhyiddin mencipta sejarah perdana menteri paling singkat di Malaysia, selepas hilang majorisi susulan 15 ahli Parlimen Umno menarik balik sokongan kepadanya.
Yang di-Pertuan Agong berkenan Muhyiddin menjalankan tugas sebagai perdana menteri sementara atau ‘caretaker’ sehingga perdana menteri baharu dilantik. – 17 Ogos, 2021.
Komen