Muhyiddin galas tugas semua jabatan kerajaan


Warta diterbit di laman web Jabatan Perguam Negara menyebut Muhyiddin Yassin dipertanggungkan dengan tanggungjawab mengenai semua jabatan Kerajaan Persekutuan dan perkara yang baginya jabatan itu bertanggungjawab sehingga pelantikan Menteri lain dalam Jemaah Menteri. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 17 Ogos, 2021.

MUHYIDDIN Yassin kini bertanggungjawab atas semua jabatan dan kementerian yang sebelum ini dipikul oleh menteri, sehingga menteri lain dilantik, berdasarkan perintah Yang di-Pertuan Agong yang diwartakan semalam.

“Diberitahu bahawa Perdana Menteri, Tan Sri Dato’ Haji Mahiaddin bin Md Yasin, adalah dipertanggungkan dengan tanggungjawab mengenai semua jabatan Kerajaan Persekutuan dan perkara yang baginya jabatan itu bertanggungjawab sehingga pelantikan Menteri lain dalam Jemaah Menteri,” kata warta yang diterbit di laman web Jabatan Peguam Negara.

Warta itu juga menyebut Yang di-Pertuan Agong melantik Muhyiddin perdana menteri mengikut Perkara 43 Perlembagaan Persekutuan.

Warta dibuat oleh Ketua Setiausaha Negara Mohd Zuki Ali selaku Setiausaha Jemaah Menteri, atas perintah Yang di-Pertuan Agong mengikut Akta Fungsi-Fungsi Menteri 1969.

Warta itu juga membatalkan Perintah Menteri-Menteri Kerajaan Persekutuan (No. 3) 2020 berkenaan tugas menteri dan timbalan menteri persekutuan dalam Jemaah Menteri Muhyiddin sebelum ini.

Warta sama seperti ini pernah dibuat sebelum Muhyiddin menamakan Jemaah Menterinya selepas beliau dilantik perdana menteri pada awal Mac tahun lalu. 

Ia juga dibuat semasa Dr Mahathir Mohamad jadi perdana menteri sementara antara 24 hingga 29 Februari 2020.

Semalam, Muhyiddin meletakkan jawatan perdana menteri dan jemaah menteri kepada Yang di-Pertuan Agong susulan tindakan sekumpulan ahli parlimen Umno awal bulan ini.

Kenyataan Istana Negara kemudian menyebut Muhyiddin “menjalankan tugas sebagai caretaker perdana menteri” sehingga seorang perdana menteri baharu dilantik.

Perlembagaan Persekutuan tidak memperuntukkan pelantikan perdana menteri sementara sekiranya seseorang perdana menteri letak jawatan, kata beberapa pakar undang-undang.

Konsep “perdana menteri sementara” hanya wujud sekiranya Parlimen bubar, kata mereka.

Pakar perlembagaan Dr Shad Saleem Faruqi bagaimanapun mengingatkan Perlembagaan juga dibaca dengan konvensyen atau amalan.

“Konvensyen adalah bahagian daripada Perlembagaan. Di banyak negara Komanwel misalnya New Zealand, kerajaan minoriti, perpaduan dan sementara, perkara yang biasa,” katanya, seperti dipetik The Star Online, semalam.

Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dijadual menerima mengadap ketua-ketua parti politik dan wakil di Istana Negara, 2 petang ini.

Beberapa sumber parti politik mengesahkan kepada media ketua atau wakil mereka dipanggil mengadap, susulan peletakan jawatan Muhyiddin.

Majlis mengadap itu juga difahamkan akan disertai Yang Dipertua Dewan Rakyat Azhar Azizan Harun dan Yang Dipertua Dewan Negara Rais Yatim. – 17 Ogos, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen