Bursa Malaysia dibuka tinggi susulan keadaan politik reda


Ragananthini Vethasalam

Dagangan di Bursa Malaysia menunjukkan kenaikan kerana pelabur melihat adanya peluang dalam ketidaktentuan politik negara. – Gambar EPA, 17 Ogos, 2021.

BURSA Malaysia dibuka tinggi hari ini setelah ketidaktentuan nasib kerajaan Perikatan Nasional mereda dan pelabur berharapkan penyelesaian yang cepat.

Pada 9.34 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) menokok 12.42 mata kepada 1515.32 berbanding 1502.9 mata pada penutupan semalam.

Indeks itu dibuka 2.37 mata lebih tinggi kepada 1,505.27.  

Indeks FBM Emas naik 71.10 mata kepada 11,071.51, Indeks FBMT 100 naik 68.22 mata kepada 10,785.88 dan Indeks FBM Emas Shariah naik 74.79 mata kepada 12,155.49.

Indeks FBM ACE menokok 58.51 mata kepada 7147.73 sementara FBM 70 naik 12.91 mata kepada 14,491.81.

Semua 13 indeks sektoral meningkat dengan perkhidmatan kewangan memperoleh mata terbanyak, berdagang 77.56 mata lebih tinggi pada 14,809.23.

Nestle Malaysia Bhd, SAM Engineering and Equipment Bhd dan Genetec Technology Bhd merupakan kaunter untung teratas pada awal dagangan.

Semalam Perdana Menteri Muhyiddin Yassin dan kabinetnya menyerahkan peletakan jawatan kepada Yang di-Pertuan Agong selepas 17 bulan ditampuk kuasa.

Katanya, beliau sudah sedia keabsahannya sebagai perdana menteri diuji di Parlimen, yang ditetapkan pada 7 September, tetapi 15 ahli Parlimen Umno sudah menarik sokongan.

Cadangannya untuk kerjasama rentas parti, yang beliau umum pada petang Jumaat lepas, juga ditolak oleh pembangkang, tambahnya.

Namun, beliau akan menggalas tanggungjawab sebagai perdana menteri sementara sehingga pengganti baharu dilantik.

Tengah hari ini, Yang di-Pertuan Agong dijangka menerima mengadap pemimpin-pemimpin parti di Istana Negara.

Dalam pada itu, Rakuten Trade berkata FBM KLCI meningkat semula daripada paras rendah berikutan wujudnya aktiviti belian saham yang berharga rendah.

“Malah, turut menarik perhatian apabila dana asing merupakan pembeli bersih walaupun dalam ketidaktentuan politik. Untuk hari ini, kami jangka dagangan di bursa tempatan akan stabil dan menyaksikan indeks berlegar dalam lingkungan 1,500 hingga 1,510,” katanya seperti dipetik Bernama. – 17 Ogos, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen