Pfizer serah data awal ujian dos ketiga vaksin Covid-19


Hasil ujian awal Fasa Pertama menunjukkan dos ketiga memberi perlindungan lebih baik berbanding hanya dua dos, kata Pfizer.– Gambar AFP, 17 Ogos, 2021.

PFIZER dan BioNTech semalam mengemukakan data ujian klinikal awal kepada pihak berkuasa kesihatan Amerika Syarikat (AS) bagi mendapatkan kelulusan suntikan ketiga vaksin keluaran syarikat farmaseutikal itu kepada rakyat AS.

Hasil ujian awal Fasa Pertama menunjukkan dos ketiga memberi perlindungan lebih baik berbanding hanya dua dos.

Minggu lalu, AS meluluskan pemberian dos ketiga vaksin Pfizer dan Moderna kepada individu dengan sistem imunisasi yang lemah.

“Data yang diperolehi setakat ini menunjukkan dos ketiga vaksin kami merangsang kadar antibodi yang jauh lebih tinggi selepas dua dos suntikan diberi,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Pfizer Albert Bourla dalam kenyataan.

Manakala pengasas bersama BioNTech Ugur Sahin dalam kenyataan berkata dos ketiga membantu mengurangkan jangkitan bagi individu yang sudah menerima dua dos.

Dos ketiga juga katanya mampu membendung penularan varian baharu Covid-19 varian baharu pada masa akan datang.

Pfizer-BioNTech bercadang untuk mengemukakan data sama kepada pengawal selia kesihatan Eropah dalam masa terdekat.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) bagaimanapun sebelum ini menggesa pemberian suntikan dos ketiga atau penggalak ditangguhkan supaya pemberian vaksin antara negara kaya dan miskin lebih adil. – AFP, 17 Ogos, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen