PERANAN baharu Muhyiddin Yassin sebagai perdana mnteri sementara adalah bagi memastikan operasi harian berlangsung tanpa gangguan, kata pakar perundangan.
Menurut mereka, ahli Parlimen Pagoh akan mempunyai kuasa terhad yang tidak akan membolehkan beliau melakukan perubahan atau lantikan besar.
Bekas presiden Badan Peguam Kuthubul Zaman Bukhari berkata tugas Muhyiddin hanya memastikan kerja kerajaan berterusan sehingga perdana menteri baharu dilantik mengikut Perlembagaan Persekutuan.
Peguam hak asasi manusia Firdaus Husni berkata kuasa Muhyiddin terhad kepada dasar jangka pendek atau perkara yang memerlukan keputusan segera.
“Perdana menteri sementara dilantik untuk menguruskan kerajaan sehingga perdana menteri baharu dilantik,” kata Firdaus.
“Perlembagaan Persekutuan tidak memperuntukan kerajaan sementara, namun tidak perlu ada keputusan besar atau lantikan dalam tempoh ini.
“Beliau hanya perlu memastikan urusan harian kerajaan berjalan tanpa gangguan,” katanya.
Istana Negara dalam satu kenyataan hari ini menyatakan Muhyiddin akan menjalankan tugas sebagai perdana menteri sementara susulan peletakan jawatannya.
Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara Ahmad Fadil Shamsuddin berkata Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah juga tidak berkenan untuk pilihan raya umum diadakan berikutan peningkatan kes Covid-19.
Muhyiddin mengadap Agong selama 30 minit pada pukul 12.30 tengah hari yang mana beliau menyerahkan peletakan jawatannya dan kabinet berkuatkuasa serta merta.
Agong meminta Muhyiddin kekal sebagai perdana menteri sementara sehingga dapat menentukan ahli Parlimen yang mempunyai sokongan majoriti untuk menjadi perdana menteri seterusnya. – 16 Ogos, 2021.
Berita penuh di sini.
Komen