PENGGUNA media sosial hari ini menyindir Muhyiddin Yassin kerana enggan berkerjasama dengan kumpulan kleptokrat dan lebih rela mengorbankan jawatan perdana menteri.
Rakyat Malaysia menggunakan Twitter untuk mengingatkan bekas perdana menteri itu bahawa beliau berkuasa tahun lalu hasil kerjasama “dengan kleptokrat”.
Mereka memberitahu bahawa bekas perdana menteri itu bersekongkol dengan kumpulan berkenaan semasa Langkah Sheraton yang menyebabkan kejatuhan kerajaan Pakatan Harapan dan kebangkitan Perikatan Nasional.
“Muhyiddin baru umum bahawa dia tolak kerjasama dengan kleptokrat untuk kekal berkuasa. Habis dia khianat PH dan bentuk PN dengan sokongan siapa? Jadi PM pon mintak sokongan kleptokrat,” tulis @dhiahariz menerusi Twitternya.
Sementara itu @AinulMasriC, menyarankan baris ayat yang seharusnya dikatakan Muhyiddin dalam ucapan perpisahannya kepada rakyat:
“Saya jadi PM disebabkan sokongan kleptokrat. Tetapi sekarang kleptokrat dah tak sokong saya, macam mana saya nak jadi PM,” tulisnya di Twitter.
@BasNorizan pula menulis bahasa Muhyiddin naik bersama pengkhianat dan kleptokrat, jatuh pun kerana pengkhianat dan kleptokrat.
@SharirShazni menambah bahawa ahli Parlimen Pagoh itu tidak peduli sekutunya adalah kleptokrat ketika mereka mengkhianati PH.
“Dulu masa khianat, tak kisah pun kleptokrat atau tidak. Berpeluk juga.
“Biasalah, inilah namanya politik. Tak pelik pun,” tulisnya.
Awal hari ini,selepas peletakan jawatannya sebagai perdana menteri, Muhyiddin berkata beliau lebih rela mengorbankan kedudukannya sebagai perdana menteri demi mempertahankan prinsip tidak mahu bertolak ansur dengan penyelewengan dan kedaulatan undang-undang.
“Saya boleh mengambil jalan mudah dengan mengorbankan prinsip saya untuk kekal sebagai perdana menteri. Tetapi itu bukan pilihan saya.
“Saya tidak akan sekali-kali bersekongkol dengan kumpulan kleptokrat, mengganggu kebebasan badan kehakiman dan membelakangi Perlembagaan Persekutuan semata-mata untuk kekal berkuasa,” katanya dalam ucapan yang disiarkan secara langsung di televisyen, petang ini.
Muhyiddin berkuasa pada Mac lalu dengan sokongan daripada Umno yang dipimpin oleh Ahmad Zahid Hamidi yang kini berdepan 87 tuduhan di mahkamah.
Kejatuhannya adalah hasil “pemberontakan” Zahid dan 14 ahli Parlimen Umno yang lain, yang beberapa di antaranya juga berdepan tuduhan jenayah termasuk bekas perdana menteri Najib Razak.
Selain perlu menangani wabak Covid-19, 17 bulan pemerintahan Muhyiddin juga berdepan kontroversi yang merangkumi pelaksanaan Ordinan Darurat selama lapan bulan yang menyebabkan persidangan Parlimen ditangguh.
Muhyiddin berkata, walaupun pada awalnya beliau mengusulkan agar keabsahannya diuji di Parlimen melalui undi percaya, penarikan sokongan 15 ahli Parlimen Umno dan penolakan pembangkang terhadap tawarannya untuk reformasi sebagai pertukaran sokongan bermakna beliau kehilangan sokongan majoriti. – 16 Ogos, 2021.
Komen