David Teo perlu mohon maaf dalam masa 3 hari, kata NGO


Diyana Ibrahim

Presiden Gerakan Memartabatkan Perjuangan Negara, Mejar (B) Razali Zakaria mendesak tindakan diambil kepada David Teo. – Gambar The Malaysian Insight oleh Najjua Zulkefli, 18 Mei, 2017.

KEMENTERIAN Penerangan dan Komunikasi didesak untuk mengambil tindakan terhadap penerbit David Teo sekiranya gagal menyatakan permohonan maaf secara terbuka kepada rakyat Malaysia, kata sebuah badan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) hari ini.

Ia susulan daripada insiden tampar ketua pengarah eksekutif Metrowealth di majlis rasmi perdana menteri semalam.

NGO yang menggelarkan diri mereka sebagai Gerakan Memartabatkan Perjuangan Negara (GMPN) memberi tempoh tiga hari untuk penerbit itu berbuat demikian.

“Kita akan minta segala bantuan kerajaan untuk Teo dihentikan, (dan) Kementerian Penerangan untuk ambil tindakan, dalam bentuk macam mana itu terpulang.

“Tapi yang penting tindakan mesti diambil,” kata Presidennya Mejar (B) Razali Zakaria kepada media di ibu pejabat Metrowealth, Petaling Jaya.

Sebelum ini, media difahamkan yang NGO Melayu itu akan mengadakan protes dengan kehadiran kira- kira 100 ahlinya di depan ibu pejabat syarikat terbabit sebagai membantah tindakan Teo malam semalam yang dianggap cuba mencetuskan provakasi

Bagaimanapun hanya enam wakil NGO hadir sambil menafikan adanya protes dan mendakwa cuma mahu mengadakan sidang media.

Selain itu NGO itu juga mendesak Kementerian Pertahanan untuk menarik kembali gelaran mejar kehormat David Teo.

“Kerana kebiadapan dan tidak profesional kita desak tarik (pangkat) Mejar Teo. Saya (juga) mejar, bukan senang nak dapat status mejar ini tapi bila dia buat macan ini kurang ajar

“Jadi kementerian pertahanan kena tarik balik dan akan kita akan buat susulan kajian macam mana mana dia boleh dapat gelaran tersebut,” katanya.

Razali juga ditanya adakah tindakan yang dilakukan penerbit yang terkenal dengan filem kutipan pecah panggung seperti Ngankung dan Kongsi boleh dianggap biadap kepada perdana menteri walau tidak ditujukan kepada Najib.

“Ia majlis perdana menteri anda kena hormat siapa yang berada di atas pentas dan tuan rumahnya.” katanya.

Pada masa sama beliau mengucapkan tahniah kepada pelawak Sulaiman Yassin yang berjaya menghentikan tindakan biadap Teo.

“Tindakan Mat Over itu betul sebab kalau tak ia akan berpanjangan jadi saya rasa tak salah dengan perbuatan Mat Over kalau tak Teo akan terus dengan kebiadapannya.”– 18 Mei, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen