PKR, DAP sambut baik peletakan jawatan Muhyiddin


Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim berkata peletakan jawatan Muhyiddin Yassin sebagai perdana menteri hari ini akan membuka ruang ke arah perubahan negara. – Gambar fail The Malaysian Insight, 16 Ogos, 2021.

PELETAKAN jawatan Muhyiddin Yassin sebagai perdana menteri hari ini akan membuka ruang ke arah perubahan negara, kata Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim.

Mengucapkan terima kasih kepada Muhyiddin atas perkhidmatannya kepada negara, Anwar juga meminta semua pihak untuk tetap tenang ketika negara terus berdepan wabak Covid-19.

Pengganti Muhyiddin belum ditemui dan Yang di-Pertuan Agong melantik beliau sebagai perdana menteri sementara sehingga perdana menteri baharu dilantik.

“Keputusan Muhyiddin untuk meletakkan jawatan hari ini disambut baik serta akan membuka ruang ke arah perubahan buat negara.

“Saya menggesa semua pihak untuk bertenang dan berdoa supaya Malaysia kembali bangkit kuat dalam menghadapi tantangan kesihatan dan ekonomi saat ini,” kata ahli Parlimen Port Dickson dalam satu kenyataan hari ini. 

Muhyiddin, dalam siaran langsung pada jam 3 petang mengumumkan peletakan jawatannya selepas hampir 18 bulan memegang jawatan, menjadikannya perdana menteri paling singkat berkhidmat dalam sejarah sejak Merdeka.

Beliau meletak jawatan selepas hilang majoriti Parlimen apabila 15 ahli Parlimen Umno menarik sokongan mereka dalam dua minggu terakhir.

Sekutu PKR, DAP juga menghargai Muhyiddin kerana mengambil langkah berlandaskan Perlembagaan yang betul selepas hilang majoriti.

“Selama 17 bulan berkuasa, Mahiaddin ada berusaha tetapi tidak mampu menangani krisis tiga berganda pandemik COVID-19, kemelesetan ekonomi dan ketidakstabilan politik,” kata Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng.

Lim berkata perdana menteri baharu akan berdepan cabaran besar dan perlu melakukan tugas yang jauh lebih baik.

“Program Imunisasi Kebangsaan (PICK) perlu dipercepatkan untuk memastikan imuniti kelompok dicapai dengan suntikan vaksin dan bukan jangkitan.

“Pelan “Reset” Covid-19 dilancarkan untuk beralih dari pembendungan Covid-19 kepada mitigasi untuk hidup dengan Covid-19 dan Pelan Normalisasi Ekonomi dilaksanakan untuk meletakkan Malaysia kembali ke landasan pemulihan dengan penekanan pada pekerjaan, membuka semula ekonomi dan bantuan kewangan berkala kepada perniagaan dan penganggur,” katanya.

Terdahulu Presiden Amanah Mohamad Sabu berkata, semua ahli Parlimen yang menang atas tiket Pakatan Harapan pada Pilihan Raya Umum ke-14 harus bersama untuk kembali membentuk kerajaan.

Katanya, mereka mesti bersatu untuk melaksanakan mandat yang rakyat berikan, yang sebelum ini dirampas melalui percaturan politik pada hujung Februari 2020.

“Apa yang telah berlaku sebelum ini biarkan ia berlalu dan kita cipta sejarah untuk bina semula negara tercinta ini,” tulisnya di Facebook. – 16 Ogos, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen