AMARAN Menteri Pendidikan Mahdzir Khalid kepada guru dan pegawai kementerian supaya tidak menyokong pembangkang melanggar Perlembagaan, kata peguam.
Ia juga menimbulkan persoalan sekiranya Putrajaya mempunyai cara untuk memeriksa undi penjawat awam seterusnya melanggar prinsip kerahsiaan undi, kata mereka lagi.
Akhbar harian berbahasa Cina, Kwong Wah melaporkan yang Mahdzir mengatakan tindakan tata tertib akan diambil kepada penjawat awam yang menyokong pembangkang.
Peguam mengatakan kenyataan itu bukan sahaja tidak beretika, ia juga melanggar beberapa undang-undang berkaitan kenyataan yang boleh dikeluarkan ahli Kabinet mengenai pilihan pengundi.
Bekas Pengerusi Bantuan Perundangan Majlis Peguam Selangor KA Ramu mengatakan undi penjawat awam sepatutnya kekal sebagai “perkara rahsia”.
“Adakah ada peraturan yang mengatakan mereka tak boleh sokong pembangkang atau kerajaan pemerintah? Ada pekeliling? Tidak. Di akhirnya, ia (undi) antara guru dan kotak undi. Ia perkara rahsia.
“Rakyat bayar gaji mereka. Siapa mereka (menteri) hendak kata mereka (guru) tak boleh sokong pembangkang? Pembangkang juga rakyat Malaysia. Adakah mereka kata begitu kerana takut hilang kuasa?
“Apa yang mereka (menteri) lakukan tidak beretika. Ia tak betul. Pendek kata awak ugut mereka (guru dan penjawat awam). Mereka mahu buat guru tunduk kepada kerajaan pemerintah dan itu salah,” katanya lagi.
Seorang lagi peguam, Mohamed Haniff Khatri Abdulla berkata Perlembagaan Persekutuan melindungi hak setiap warga Malaysia yang berdaftar sebagai pengundi untuk “mengundi pilihan yang mereka mahu jadi kerajaan.”
“Tak kisahlah sama ada pengundi itu penjawat awam atau tidak. Satu-satunya batasan kepada penjawat awam adalah mereka tak boleh bawa politik ke tempat kerja. Dia boleh terlibat dalam aktiviti atau parti politik tetapi ia mesti dilakukan di luar waktu kerja. Itu sahaja,” kata peguam kepada Pengerusi Pakatan Harapan Dr Mahathir Mohamad itu.

“Jika undi sepatutnya rahsia, dan menteri kerajaan keluarkan kenyataan sebegini, ia memberi tanggapan yang kerajaan ada cara untuk tahu siapa undi siapa. Maka awak tak boleh salahkan rakyat jika mereka fikir kerajaan ada akses kepada daftar pemilih.
“Awak mengakui yang awak macam ada cara, kaedah yang salah dan jahat untuk dapatkan maklumat daftar pemilih. Ini sangat salah. Dan ia akan membentuk andaian yang kerajaan menerima bantuan Suruhanjaya Pilihan Raya.
“Suruhanjaya itu kini perlu menjawab isu yang dibangkitkan Mahdzir. Adakah mereka membantu kerajaan untuk mengetahui siapa undi siapa?”
Haniff berkata salah untuk seorang menteri mengeluarkan ugutan sebegitu ketika pilihan raya semakin hampir.
Pilihan Raya Umum Ke-14 perlu diadakan menjelang Ogos, dan Parlimen akan terbubar secara automatik pada 24 Jun.
Haniff berkata kenyataan Mahdzir boleh dianggap ugutan jenayah di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan.
Ia juga boleh dianggap satu kesalahan di bawah Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954, yang melindungi hak pengundi dan mengekalkan kerahsiaan pilihan raya, tambahnya lagi. – 19 Januari, 2018.
Komen
.
Dimuat naik 8 tahun yang lalu oleh Ujang Mohd · Ulasan