Stok bir kurang, peniaga kedai kopi gesa Putrajaya buka semula kilang arak


Angie Tan

Arak jenis botol jauh lebih popular di kalangan pengguna yang mengunjungi kedai kopi dan kekurangan minuman berkenaan telah mempengaruhi pendapatan, kata peniaga. – Gambar fail The Malaysian Insight, 16 Ogos 2021.

SEBANYAK 80% kedai kopi di negara ini berdepan kehabisan stok bir jenis botol setelah Putrajaya menggantung operasi kilang arak pada bulan Jun di bawah perintah kawalan pergerakan, kata persatuan.

Mereka memberitahu The Malaysian Insight bahawa ia merupakan tamparan bagi kedai kopi yang bergantung sepenuhnya kepada keuntungan jualan minuman beralkohol dan jualan kepada pelanggan tanpa minum di premisnya.

Mereka berkata arak jenis botol jauh lebih popular di kalangan pengguna yang mengunjungi kedai kopi dan kekurangan miunuman berkenaan telah mempengaruhi pendapatan.

Bekalan bir dalam botol yang rendah juga akan mengakibatkan penyeludupan alkohol yang seterusnya akan menggugat pendapatan negara.

Presiden Persatuan Pemilik Kedai Kopi Malaysia Singapura Wong Teu Hoon berkata stok bir dalam botol masih ada pada Jun.

Namun, katanya stok minuman beralkohol hampir habis setelah dua bulan.

“Bir adalah salah satu cara industri katering memperoleh keuntungan. Adalah tidak mencukupi untuk menampung perbelanjaan sekiranya perniagaan hanya bergantung pada penjualan kopi dan teh,” katanya.

Beliau berkata banyak ahlinya sudah menyatakan kesukaran mereka susulan kekurangan stok bekalan bir ditambah dengan perniagaan yang teruk semasa pandemik.

Menurut Wong, 80% kedai kopi di seluruh negara yang kebanyakannya terletak di kawasan bandar besar seperti Selangor tidak mempunyai lagi stok bir jenis botol untuk dijual sekarang.

“Walaupun tidak boleh makan malam hari ini, masih ada pelanggan yang akan membeli bir sambil membuat pesanan makanan.

“Terutama pada Euro 2020 yang baru saja berlalu, banyak yang memilih untuk membeli bir untuk minum dan menonton perlawanan bola sepak itu,” katanya, sambil menambah minuman dalam botol adalah popular di kalangan mereka yang sering mengunjungi kedai kopi.

Katanya, selain stok di pasar raya dan restoran yang hanya cukup untuk memenuhi keperluan jangka pendek, perniagaan kecil lain tidak lagi mempunyai simpanan bekalan bir.

Beliau berharap agar industri pembuatan bir dapat kembali beroperasi apabila kerajaan membenarkan 60% pekerja kembali bekerja di kilang.

Sementara itu Presiden Persatuan Peniaga Kopi dan Teh Cina Selangor dan Kuala Lumpur bersetuju dengan Wong.

Beliau berkata pasaran hari ini lembap dan kebanyakan peniaga tidak akan memilih untuk menambah stok bir.

“Stok memerlukan wang dan industri tidak akan menyimpan terlalu banyak untuk mengelakkan masalah aliran tunai,” kata Lee. – 16 Ogos, 2021.

Berita penuh di sini


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen