Malaysia mampu capai sasaran 50% vaksinasi penuh pada Ogos, kata Khairy


Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) Khairy Jamaluddin, berkata pencapaian ini adalah hasil daripada kadar vaksinasi harian yang tinggi hampir 400,000 pada bulan Julai, melepasi sasaran awal 300,000 dos sehari. – Gambar fail The Malaysian Insight, 15 Ogos 2021.

SASARAN vaksinasi penuh terhadap separuh populasi dewasa di Malaysia pada bulan ini adalah mengikut jadual, kata menteri penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) Khairy Jamaluddin.

Ahli Parlimen Rembau itu dalam satu video yang dimuat naik mengumumkan 12 juta dos vaksin telah diberikan di bawah PICK pada Julai sahaja.

Angka ini jauh lebih tinggi daripada lapan juta dos keseluruhan yang diberikan sejak program berkenaan dimulakan pada Februari hingga Jun.

Pencapaian penting itu adalah hasil daripada kadar vaksinasi harian yang tinggi hampir 400,000 pada bulan Julai, melepasi sasaran awal 300,000 dos sehari.

“Kita memulakan bulan (Julai) di belakang negara maju seperti Australia, Jepun dan Korea Selatan, tetapi menamatkan bulan ini jauh di depan. Peningkatan kita telah diakui di peringkat antarabangsa, dan kita pernah merekodkan kadar vaksinasi harian melebihi setengah juta dos.

“Ini menunjukkan kepada kita apa yang selalu kita ketahui: Apa yang menghalangi kita bukanlah kekurangan kapasiti, sumber, atau kompetensi, tetapi sebaliknya, tidak memiliki bekalan vaksin yang konsisten, kerana ketidakadilan vaksin global dan lambakan vaksin secara pasti di beberapa negara yang dikecam oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia, “katanya dalam ucapan terakhirnya sebagai menteri.

Perdana Menteri Muhyiddin Yassin akan menyembahkan surat peletakan jawatannya kepada Yang di-Pertuan Agong dan dengan itu menteri kabinet juga akan hilang jawatan.

PICK juga telah mencapai sasarannya untuk memastikan bahawa setiap individu dewasa di Lembah Klang menerima sekurang-kurangnya satu dos, melalui Operasi Lonjakan Kapasiti yang baru dilancarkan.

Operasi ini sahaja melibatkan pemberian purata 235,000 dos sehari di Lembah Klang.

“Terima kasih kepada semua yang terlibat, dan kami berharap dapat melihat titik perubahan terhadapa kemasukan hospital dan kematian di Lembah Klang dalam beberapa minggu ke depan susulan ramai yang sudah menerima dos kedua,” katanya.

Peratusan populasi dewasa di Malaysia yang telah menerima dua dos melebihi 40% pada 14 Ogos manakala mereka yang menerima sekurang-kurangnya satu dos lebih daripada 50%.

Secara keseluruhan, 81% daripada semua individu dewasa yang berdaftar telah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin. – 15 Ogos, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen