Pakatan Pulau Pinang mahu lelaki tampar wanita dalam video disiasat


Looi Sue-Chern

Penolong Setiausaha Publisiti Wanita DAP Kebangsaan, Syerleena Abdul Rashid (depan, dua dari kiri) bersama pemimpin Pakatan Harapan lain membuat laporan di balai polis di Jalan Patani hari ini. – Gambar The Malaysian Insight, 19 Januari, 2018.

PEMIMPIN-pemimpin dari sayap wanita Pakatan Harapan (PH) Pulau Pinang hari ini mendesak polis supaya menyiasat video yang memaparkan seorang wanita diserang oleh seorang lelaki kerana tidak memakai tudung.

Penolong Setiausaha Publisiti Wanita DAP Kebangsaan, Syerleena Abdul Rashid berkata insiden itu tidak harus dipandang ringan dan perbuatan menyakiti orang lain tidak patut dibenarkan.

“Tindakan ganas secara rambang ini tidak seperti yang seseorang boleh bayangkan. Ia hanya menyasarkan wanita yang dianggap berbeza dari yang dianggap normal sekarang ini.

“Kebencian terhadap wanita dan patriarki telah merencat kemampuan negara untuk maju. Kedua-dua elemen kebencian ini menyebabkan regresi kami,” beliau berkata selepas membuat laporan polis mengenai video itu.

Video itu menjadi viral awal bulan ini malah turut dilapor oleh media luar negara di mana laman berita UK, Daily Mail melaporkan berita mengenai video itu pada 11 Januari lalu.

Video itu memaparkan seorang lelaki memarahi beberapa orang wanita di sebuah perhentian bas di Pulau Pinang dan bertanyakan kepada salah seorang dari mereka mengenai agamanya serta mengapa dia tidak bertudung.

Wanita itu menjawab ia adalah haknya untuk tidak memakai tudung lalu ditampar lelaki terbabit.

Menurut laman web tempatan, The Reporter, kejadian itu berlaku di Bukit Jambul, Bayan Baru. Mangsa dilaporkan seorang warga asing.

Polis daerah Timur Laut pada awal minggu lalu memberitahu The Malaysian Insight mereka tidak menerima sebarang laporan berhubung kejadian itu. – 19 Januari, 2018.

[Berita penuh di sini]


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen