Pemimpin Pakatan boleh berbincang dengan lawan, kata Guan Eng


Pemimpin Pakatan Harapan boleh berbincang dengan lawan politik mengenai situasi semasa, kata Lim Guan Eng. – Gambar fail The Malaysian Insight, 15 Ogos, 2021.

PAKATAN Harapan memberikan kebenaran kepada pemimpin dalam pakatan pembangkang untuk berbincang dengan pihak lawan tentang situasi politik semasa, kata Lim Guan Eng.

Dalam kenyataan dikeluarkan hari ini, setiausaha agung DAP itu berkata sekatan tidak boleh berbincang dengan pihak lawan hanya dikenakan kepada tiga pemimpin utama PH- Presiden PKR Anwar Ibrahim, Presiden Amanah Mohamad Sabu dan dirinya sahaja.

“Selain tiga pemimpin teratas daripada DAP, PKR dan Amanah, ramai Ahli Parlimen dan pemimpin daripada ketiga-tiga parti dalam PH secara sendiri telah mengadakan banyak perbincangan dengan seteru politik.

“Walau bagaimanapun, perbincangan seperti itu tertakluk kepada persetujuan daripada kepemimpinan parti masing-masing dan Majlis Presiden PH bagi ia dapat dilaksanakan,” katanya dalam kenyataan itu.

Kenyataan itu dikeluarkan selepas akhbar Sin Chew Daily melaporkan cubaan saat-saat akhir Muhyiddin Yassin untuk mendapatkan sokongan bipartisan pada Jumaat lalu adalah hasil usaha bersama Menteri Kewangan Tengku Zafrul Aziz dan ahli Parlimen DAP, Tony Pua dan Ong Kian Ming.

Laporan menyebut beberapa pertemuan diadakan antara mereka bagi mendapatkan persetujuan usaha pembaharuan Parlimen dan institusi. – 15 Ogos, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen