Guru jangan 'diganggu' politik, kata NUTP


Asila Jalil

NUTP mengulas laporan media memetik Menteri Pendidikan Mahdzir Khalid yang memberi amaran kepada guru dan pegawai kementerian yang menyokong pembangkang. NUTP mengatakan tugas guru adalah mengajar dan perlu mengelak "diganggu" politik. – Gambar fail The Malaysian Insight, 19 Januari, 2018.

KESATUAN Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP) mengatakan guru selaku penjawat awam mempunyai tanggungjawab melaksanakan dasar kerajaan semasa dan tidak seharusnya “diganggu” politik.

“Selaku guru, kita tidak boleh ‘diganggu’ politik…kerja kita adalah untuk mengajar seperti yang ditetapkan kementerian,” kata Setiausaha Agung NUTP Harry Tan Huat Hock kepada The Malaysian Insight.

“Jika mana-mana guru ada masalah dengan gaji, perkhidmatan atau urusan profesional…NUTP sedia membantu,” katanya.

NUTP mengulas laporan Kwong Wah memetik kenyataan Menteri Pendidikan Mahdzir Khalid yang memberi amaran kepada guru dan pegawai kementerian supaya tidak menyokong pembangkang atau mereka bakal berdepan tindakan tata tertib.

Mahdzir dilaporkan berkata yang guru serta pegawai kementerian dilarang daripada menyertai parti politik pembangkang atau menghentam kerajaan.

Beliau menambah yang kakitangan pendidikan perlu memberikan tumpuan kepada transformasi sistem pendidikan dan jika mereka mempunyai sebarang rungutan, mereka seharusnya membawa perkara itu terus kepada kementerian atau melalui NUTP.

Dua pesara guru yang ditemui The Malaysia Insight mempunyai cerita berbeza mengenai adakah arahan sebegitu pernah dikeluarkan Kementerian Pendidikan ketika mereka berkhidmat.

Seorang pesara guru yang hanya mahu dikenali sebagai Michael masih mengingati betapa guru sekolah kerajaan diberi peringatan berulang kali supaya menyokong kerajaan. Ini berlaku ketika beliau masih mengajar sekitar pertengahan era 2000.

Katanya, berdasarkan pergaulan dengan guru lain, ramai yang melakukan kerja mereka kerana pelajar dan tidak semestinya menyokong kerajaan.

“Kami jadi guru untuk mendidik, mengajar anak-anak kita. Itu tumpuan utama.

“Kami tak peduli tentang pihak berkuasa. Tetapi mereka pernah buat begini dahulu. Banyak kali,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Michael berkata guru kadang kala dipanggil untuk menghadiri mesyuarat yang digelar “majlis motivasi” dan pembentangan dalam majlis itu berkisar mengapa para guru perlu menyokong kerajaan pemerintah.

“Kadang kala mereka panggil kami untuk hadir dan kemudian seolah-olah ‘brainwashed’ awak tentang kerajaan. Ia dijalankan dengan penuh teratur,” tambahnya.

Seorang lagi pesara guru yang hanya mahu dikenali sebagai Adam berkata beliau tidak pernah mendengar arahan sebegitu daripada kementerian ketika mengajar di sekolah kerajaan dahulu.

Berpengalaman mengajar lebih tiga dekad, Adam berkata sangat memalukan yang pada masa kini seorang menteri boleh berkata begitu.

“Tidak pada zaman saya. Mereka tak terdesak dahulu. Sekarang, mungkin ceritanya lain! Jika ini benar, memalukan yang kerajaan perlu ambil tindakan yang tak bermoral. Saya tak akan tunduk kepada ugutan sebegini.

“Saya mula mengajar pada 1968 dan bersara pada 2002. Mereka mungkin buat begitu sekarang. (Tetapi) pada zaman saya, kami bebas memilih,” tambahnya. – 19 Januari, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen