Kelonggaran tarik balik jika langgar SOP, ada kes Covid-19, kata Muhyiddin


Kelonggaran beroperasi akan ditarik balik jika SOP tidak dipatuhi dan wujud kes Covid-19, kata Muhyiddin Yassin dalam pengumuman membenarkan aktiviti ekonomi berjalan semula. – Gambar fail The Malaysian Insight, 15 Ogos, 2021.

KERAJAAN akan menarik balik kelonggaran yang diberikan untuk kegiatan ekonomi dan sosial sekiranya mereka yang terlibat tidak mematuhi peraturan dan ada jangkitan Covid-19 di premis berkenaan, kata Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.

Muhyiddin memberi amaran itu semasa mengumumkan kelonggaran 11 jenis perniagaan tambahan di negeri Fasa 1 dan Fasa 2 Pelan Pemulihan Negara bermula esok.

“Kerajaan tidak akan teragak-agak untuk menarik semula kemudahan-kemudahan yang telah diberikan sekiranya berlakunya ketidakpatuhan terhadap garis panduan serta SOP-SOP yang telah ditetapkan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau mengingatkan tanggungjawab memastikan peraturan yang ditetapkan dipatuhi bukan saja pada pihak berkuasa untuk memantau tetapi pemilik premis.

“Pemilik premis mestilah bertanggungjawab sepenuhnya ke atas pelaksanaan kemudahan yang diberikan bagi memastikan ia dilaksanakan mengikut peraturan serta garis panduan yang telah ditetapkan dan mengelakkan mudarat,” tambahnya.

Mulai esok, kedai gunting rambut dan cuci kereta di negeri Fasa 1 boleh dibuka semula, terhad untuk pelanggan yang sudah lengkap menerima vaksin Covid-19.

Kedai elektrik dan elektronik serta kedai barangan rumah, peralatan dapur dan perabot juga akan kembali dibuka esok.

Bagi negeri Fasa 2 pula, kerajaan turut membenarkan 11 lagi jenis perniagaan dibuka semula antaranya kedai barang fotografi dan perkhidmatan fotografi, barangan terpakai, antik dan permaidani.

Menurut Muhyiddin, kerajaan berharap kelonggaran itu akan melegakan emosi dan kesihatan rakyat selain membantu memulihkan ekonomi mereka yang terlibat.

Selangor dan Kuala Lumpur yang merekodkan majoriti kes baharu Covid-19 setiap hari adalah antara negeri dan wilayah dalam Fasa 1 PPN.

Negeri dan wilayah lain ialah Kedah, Selangor, Negeri Sembilan, Melaka, Johor, dan Putrajaya.

Negeri Fasa 2 pula ialah Pulau Pinang, Perak, Kelantan, Terengganu, Pahang, dan Sabah.

Sejak minggu lalu, kerajaan menetapkan petunjuk baharu dalam menentukan peralihan fasa PNN iaitu bilangan kes bergejala yang dimasukkan ke hospital. Ia menggantikan petunjuk bilangan kes Covid-19 harian baharu, yang kini mencatatkan lima angka dari demi hari dalam lingkungan lebih 20,000 kes.

Menteri Penyelaras PPN, Tengku Zafrul Abdul Aziz berkata petunjuk baharu itu dipakai apabila sekurang-kurangnya 50% penduduk dewasa di sesebuah negeri Fasa 1 lengkap disuntik vaksin. – 15 Ogos, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen