PRESIDEN Umno Ahmad Zahid Hamidi ini menyindir pentadbiran Perdana Menteri Muhyiddin Yassin kerana membuka ruang untuk kerjasama dengan DAP.
Sedangkan sebelum ini, ahli Parlimen Bagan Datuk itu berkata dirinya dituduh ingin bersekongkol dengan pembangkang.
“Akhirnya mereka yang menawarkan jajaran baharu bersama DAP, mula menghalalkan apa mereka haramkan.
“Mengata dulang paku serpih mengata orang dia yang lebih, melempar tuduhan demi tuduhan ke atas presiden Umno
“Akhirnya mereka melakukan apa yang dituduh, begitulah ‘karma’ sebuah pembohongan dan penipuan,” kata Zahid di akaun Facebooknya, hari ini.
Tambahnya, ada juga yang mendakwa kerjasama dengan DAP itu terpaksa dibuat disebabkan pandemik.
“Ada mendakwa konon tak mahu jajaran baharu bersama DAP, tetapi terpaksa disebabkan pandemik,” katanya.
“Hilang terus dalil ummah dan musuh agama yang hari-hari diratib untuk menyerang presiden Umno.
“Beberapa mereka mendakwa konon tidak dimaklumkan jajaran baharu, tetapi ok demi tamadun.”

Katanya, rakyat kini tidak lagi mudah dipermainkan dengan penipuan tersebut.
“Mereka mendulang air terpercik muka sendiri, presiden Umno begini jua terus berpegang pada prinsip parti, mungkin berkat kesabaran dan yakin kebesaran Tuhan berdepan panah-panah fitnah.
“Saya maafkan fitnah dan dakyah anda semua, semoga kebenaran semalam menatijahkan sebuah keinsafan,” kata Ahmad Zahid
Tawaran Perdana Menteri Muhyiddin Yassin untuk berdamai saat akhir bersama pembangkang didakwa hasil usaha kerjasama Menteri Kewangan Tengku Zafrul Aziz dan wakil rakyat DAP Tony Pua dan Ong Kian Meng.
Akhbar harian berbahasa Cina Sin Chew dalam satu laporan eksklusif berkata persetujuan itu dicapai selepas beberapa mesyuarat rahsia diadakan bagi melaksanakan pembaharuan parlimen dan institusi.
The Malaysian Insight difahamkan satu mesyuarat diadakan sebelum Belanjawan 2021 dan turut diadakan baru-baru ini berkenaan usaha bipartisan.
Muhyiddin berjanji untuk memperkenalkan rang undang-undang had penggal perkhidmatan perdana menteri dan menghentikan wakil rakyat lompat parti.
Beliau juga berjanji memberikan peruntukan sama rata kepada semua ahli Parlimen untuk keperluan kawasan masing-masing, termasuk di kerusi pembangkang.
Pembaharuan lain termasuk pindaan kepada undang-undang berkaitan yang diperlukan untuk Undi18, atau menurunkan had umur mengundi daripada 21 kepada 18 tahun, dan bagi memastikan semak imbang lebih baik dalam Jawatankuasa Pemilih Parlimen.
Jika kekal sebagai perdana menteri, beliau juga berjanji menambah perbelanjaan kerajaan untuk mengurus Covid-19 kepada RM110 bilion, bagi mengawal pandemik yang semakin teruk dan menambah bantuan kewangan kepada rakyat dan perniagaan. – 15 Ogos, 2021.
Komen