Kedai gunting rambut, cuci kereta buka esok di negeri Fasa 1, umum PM


Kedai gunting rambut antara yang dibenar buka mulai esok di negeri Fasa 1 PPN. – Gambar fail The Malaysian Insight, 15 Ogos, 2021.

PENDUDUK di negeri-negeri Fasa 1 Pelan Pemulihan Ekonomi akan boleh ke kedai gunting rambut atau cuci kereta mulai esok apabila kerajaan membuka semula 11 kegiatan ekonominya, umum Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.

Kedai elektrik dan elektronik serta kedai barangan rumah, peralatan dapur dan perabot juga akan kembali dibuka esok.

Kebenaran operasi itu bagaimanapun terhad untuk pelanggan yang sudah lengkap menerima vaksin Covid-19, kata perdana menteri.

Keputusan itu dibuat selepas kerajaan membuat penilaian risiko melibatkan Kementerian Kesihatan dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, kata perdana menteri.

“Setelah berbincang dengan semua pemegang taruh dalam sektor-sektor berkepentingan, Kerajaan bersetuju memberikan kemudahan dalam sektor perdagangan dan pengedaran berkuatkuasa 16 Ogos 2021,” katanya dalam satu kenyataan.

Selangor dan Kuala Lumpur yang merekodkan majoriti kes baharu Covid-19 setiap hari adalah antara negeri dan wilayah dalam Fasa 1 PPN.

Negeri dan wilayah lain ialah Kedah, Selangor, Negeri Sembilan, Melaka, Johor, dan Putrajaya.

Di semua negeri dan wilayah ini, pasar pagi dan pasar tani juga boleh dibuka semula esok.

Kedai cuci kereta juga dibenar buka mulai esok. – Gambar fail The Malaysian Insight, 15 Ogos, 2021.

Kedai dan perniagaan yang juga boleh beroperasi semula esok ialah kedai peralatan sukan, pakaian, fesyen dan aksesori, serta barang kemas, tertakluk arahan kesihatan tambahan yang mesti dipatuhi.

Ia termasuk memakai sarung tangan, had masa urusan antara pekerja dan pelanggan serta larangan penggunaan bilik persalinan mencuba pakaian.

“SOP-SOP ini mungkin merumitkan tetapi ia demi keselamatan pekerja dan pelanggan,” kata Muhyiddin.

Selain kedai cuci kereta, kedai aksesori kereta juga dibenarkan dibuka esok, selain pusat pengedaran dan jualan kereta.

Jelas perdana menteri semua perniagaan yang diberi kebenaran operasi semula esok mesti memastikan pelanggan yang memasuki premis mereka menunjukkan sijil digital vaksinasi Covid-19.

Vaksinasi lengkap bermaksud 14 hari selepas tarikh suntikan dos kedua bagi vaksin jenis dua dos, dan 28 hari selepas tarikh suntikan bagi vaksin jenis satu dos.

Negeri Fasa 2

Bagi negeri Fasa 2 pula, kerajaan juga membenarkan 11 lagi jenis perniagaan dibuka semula esok, antaranya kedai barang fotografi dan perkhidmatan fotografi, barangan terpakai, antik dan permaidani.

Kelonggaran juga diberi kepada kedai bunga dan nurseri, kraftangan dan cenderahati, alat permainan, kandungan kreatif dan peralatan industri kreatif, serta peralatan rekreasi luar seperti perkhemahan dan memancing.

Kedai tembakau termasuk rokok elektronik serta kedai kosmetik, penjagaan kulit dan minyak wangi juga boleh dibuka esok.

Negeri Fasa 2 ialah Pulau Pinang, Perak, Kelantan, Terengganu, Pahang, dan Sabah. – 15 Ogos, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen