Pemimpin kanan Bersatu bermesyuarat di tengah khabar Muhyiddin berundur


Ravin Palanisamy

Kenderaan membawa Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin dilihat keluar meninggalkan kediaman perdana menteri itu di Damansara dipercai menghala ke ibu pejabat PN di pusat beli-belah Publika Shopping Gallery. – Gambar The Malaysian Insight oleh Afif Abd Halim, 15 Ogos, 2021.

PEMIMPIN kanan Bersatu bermesyuarat pagi ini ketika presiden parti Muhyiddin Yassin dijangka akan menyerahkan surat peletakan jawatannya sebagai perdana menteri kepada Yang di-Pertuan Agong, esok.

Mesyuarat berlangsung di ibu pejabat Perikatan Nasional (PN) di pusat beli-belah Publika Shopping Gallery, di Kuala Lumpur.

Muhyiddin dilihat meninggal rumahnya di Bukit Damansara sebelum 9 pagi dan tiba beberapa minit kemudian melalui pintu masuk yang tidak ditunggu wartawan dan jurugambar.

Timbalan Presiden Bersatu Ahmad Faizal Azumu sampai lebih kurang 9.05 pagi, menyusuli anggota Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) yang juga menteri Kabinet Saifuddin Abdullah dan Zuraida Kamaruddin yang tiba lebih kurang 15 minit sebelumnya.

Pemimpin lain yang dilihat hadir termasuk Menteri di Jabatan Perdana Menteri Mustapa Mohamed dan Redzuan Yusof yang juga anggota MPT Bersatu, serta Timbalan Yang di-Pertuan Dewan Rakyat Mohd Rashid Hasnon.

Muhyiddin dijangka mengadap Yang di-Pertuan Agong sebelum tengah hari esok.

Sumber memberitahu The Malaysian Insight, keputusan Muhyiddin untuk meletak jawatan muktamad.

Sokongan Muhyiddin terhakis minggu lalu selepas Umno mengesahkan 14 ahli parlimennya menarik balik sokongan mereka sementara dua menteri letak jawatan daripada Kabinet.

Mengikut Perlembagaan Persekutuan, perdana menteri yang tidak lagi mendapat kepercayaan majoriti di Dewan Rakyat mempunyai dua pilihan sama ada memohon Yang di-Pertuan Agong membubarkan Parlimen atau letak jawatan.

Timbalan Presiden Bersatu Ahmad Faizal Azumu turut berada di pusat beli-belah Publika pagi ini bagi menghadiri mesyuarat di ibu pejabat PN. – Gambar The Malaysian Insight oleh Afif Abdul Halim, 15 Ogos, 2021.

Kelmarin, Muhyiddin menawarkan tujuh pembaharuan sebagai balasan mendapatkan sokongan ahli Parlimen pembangkang di Parlimen untuk pentadbirannya kekal.

Tawaran itu adalah cadangan reformasi kerajaan Pakatan Harapan (PH) sebelum ini, termasuk mengehadkan tempoh jawatan perdana menteri kepada dua penggal, mengukuhkan institusi Parlimen dan menurunkan umur kelayakan mengundi kepada 18 tahun.

Tawaran dibuat menjelang undian percaya kepada perdana menteri pada 7 September ketika kerajaan Muhyiddin kini dipercayai mempunyai hanya 100 sokongan daripada 220 anggota Dewan Rakyat.

Semua parti politik pembangkang kemudian mengeluarkan kenyataan media menolak tawaran berkenaan, yang disifatkan sebagai “cubaan rasuah terbuka melalui televisyen”.

Presiden PKR Anwar Ibrahim merangkap pengerusi PH juga menolak tawaran naik taraf jawatan ketua pembangkang di Dewan Rakyat yang “menghina”.

“Bagi saya ini satu penghinaan. Ada orang kata, oh, tahniah. Saya kata itu penghinaan.

“Orang nak dapat RM50, RM100 tambahan sebulan cari nafkah untuk anak pun susah, dan kamu pelawa ketua pembangkang RM40,000, RM50,000 sebulan tambahan dengan segala status dan sebagainya… salah pilih,” katanya dalam satu mesej video melalui Facebook, malam tadi.

Muhyiddin menjadi perdana menteri pada 1 Mac, 2020 selepas percaturan politik menyingkirkan kerajaan PH yang menang pilihan raya umum 2018.

Kerajaan PH jatuh selepas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad yang juga pengerusi parti meletak jawatan setelah Muhyiddin membawa Bersatu keluar daripada gabungan itu pada 24 Februari, 2020. – 15 ogos, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen