Lebih 10 juta individu lengkap vaksin Covid-19, kata menteri


Sebanyak 31.9% atau 10,425,300 populasi negara ini melengkapkan dua dos suntikan vaksin Covid-19 setakat semalam, kata menteri kesihatan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 15 Ogos, 2021.

SEBANYAK 31.9% atau 10,425,300 populasi negara ini telah melengkapkan dua dos suntikan vaksin Covid-19 setakat semalam, kata Menteri Kesihatan Dr Adham Baba.

Menerusi perkongsian infografik di Twitter rasminya, beliau memaklumkan seramai 16,868,615 orang atau 51.7% menerima dos pertama, menjadikan jumlah kumulatif pemberian vaksin menerusi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) setakat semalam sebanyak 27,293,915 dos.

Mengikut peratusan, 72.1% daripada populasi dewasa negara telah mendapat dos pertama manakala 44.5% melengkapkan dua dos suntikan vaksin Covid-19.

Sementara itu, vaksinasi harian mencatatkan 442,150 dos diberikan semalam dengan 161,049 adalah dos pertama manakala 281,101 adalah dos kedua.

PICK dilancarkan pada 24 Februari lepas bagi memberikan vaksinasi untuk membendung pandemik Covid-19 di seluruh negara. – Bernama, 15 Ogos, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen