SATISHWARAN Sathiasilan gemar memasak dan sudah mahir menyiapkan beberapa juadah ringkas yang lazat seperti mee goreng, telur goreng dan nasi goreng. Juadah dimasaknya digemari ibu bapa dan abangnya, tetapi cita-cita remaja yang baru sahaja berusia 14 tahun itu untuk menjadi seorang chef kini tidak lagi boleh menjadi kenyataan.
Satishwaran terbunuh ditimpa kerusi yang dibuang daripada tingkat 21 flat Perumahan Rakyat Seri Pantai (PPR).
Ibunya, S. Kasthuribai, 45, yang bekerja sebagai tukang masak di restoran itu berkata beliau menyimpan hasrat mahu menghantar Sathishwaran ke sekolah memasak selepas tamat persekolahannya.
“Dia mendapat inspirasi menjadi chef selepas saya bawa dia ke restoran di Bangsar, tempat saya bekerja. Dia sukakan persekitaran di sana dan berkata mahu ikut jejak saya.
“Impian itu tiada lagi, tragedi melanda keluarga kami,” katanya kepada The Malaysian Insight hari ini.
Masih menahan tangis, Kasthuribai berkata anaknya itu sepatutnya menduduki Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) tahun ini.
Katanya, anak lelakinya itu sentiasa gemar mengikutnya ke tempat kerja dan kakitangan lain di restoran itu turut menyukainya.
“Mereka kata dia peramah, ceria dan senang bergaul, menyapa dan bergurau dengan mereka.
“Mereka semua terkejut dan sedih apabila mendengar berita kematiannya,” katanya lagi.
Satishwaran boleh sahaja menjadi peguam atau jurutera tetapi cintanya kepada makanan menyebabkan dia memutuskan untuk menjadi seorang chef, tambah Kasthuribai lagi.
Anak lelaki bongsunya itu akan memasak makanan kegemaran keluarga seperti mee goreng, kobis goreng dan telur goreng. Makanan kegemarannya adalah nasi goreng.
Ibu dan anak itu juga sering berbincang mengenai resepi dan rempah ratus yang digunakan.

“Saya betul-betul sukakan masakannya dan ajar dia untuk guna jumlah rempah yang betul untuk masakan.
“Kami sekeluarga akan berkumpul untuk menikmati masakannya, yang sangat sedap.
“Apabila dia beritahu yang dia mahu jadi chef, kami kata kami akan sokong sepenuhnya cita-citanya. Kami beritahu yang dia perlu kerja keras dan habis belajar dahulu, kemudian barulah dia boleh kejar cita-citanya,” kata Kasthuribai.
Polis masih mencari mereka yang bertanggungjawab melempar kerusi itu ke bawah flat. Suspek akan berdepan dakwaan membunuh.
Ketua CID Kuala Lumpur Rusdi Mohd Isa berkata kes itu yang pada mulanya diklasifikasikan sebagai menyebabkan kematian kini sudah ditukar kepada dakwaan membunuh, suspek yang bertanggungjawab bakal berdepan hukuman mati mandatori.
Kashturibai berkata dia masih menunggu berita daripada polis mengenai siasatan kematian anaknya.
“Kami masih tak dengar apa-apa dan kami berharap polis dapat tangkap orang itu secepat mungkin.
“Saya hanya mahu jumpa dia dan tanya mengapa dia buat begitu? Kenapa dia lontar kerusi yang bunuh anak saya dan buat saya kehilangan anak kesayangan?” katanya.
Impian Satishawaran untuk menjadi chef begitu mendalam sehingga dia merakam rancangan memasak di telivisyen.
“Kegemarannya adalah rancangan memasak dari Amerika.
“Kami hanya benarkan dia menonton selepas dia siapkan kerjanya. Dia akan bersihkan rumah ketika kami keluar bekerja,” kata ibunya.
Ayah Satishwaran, K. Sathiasilan, 45, berkata dia tidak boleh menerima kematian anak lelakinya itu.
“Walaupun dia hanya masak juadah biasa, dia masak lebih baik daripada saya. Dia budak berbakat dan kami sepenuhnya sokong cita-citanya. Impian dan harapan kami untuknya kini hancur berkecai,” katanya.

Satishwaran juga gemar bermain dengan koleksi kereta mainannya dan rapat dengan abangnya, S.Yogeswaran berusia 18 tahun.
“Satishwaran akan berkorban apa sahaja demi abangnya,” kata Kasthuribai.
Remaja yang belajar di La Salle Brickfields itu juga merupakan orang yang pemurah dan kadang kala menggunakan duit koceknya untuk membeli minuman dan manisan untuk kawan-kawannya di sekolah, kata ibu saudaranya, S. Vijayalaxhmi, 48 tahun.
“Dia sangat pemurah dan sentiasa menjaga orang di sekelilingnya. Dia akan sentiasa diingati dan dirindui semua orang,” katanya.
Pengerusi Persatuan Penduduk Sri Pantai Tusiah Sino berkata sikap membuang sampah dari flat itu sudah berterusan bertahun lamanya.

“Kejadian buang sampah sudah berlaku sejak saya berpindah ke flat ini 15 tahun lalu. Mereka ini perlu diberikan pengajaran.
“Kerusi itu bukan satu-satunya kejadian, sebelum ini ada penduduk yang hampir terkena peti sejuk dan almari baju yang dibuang dari atas,” katanya.
Tusiah berkata beliau diberitahu Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang mereka akan membina laluan berbumbung kepada penduduk.
“Kami diberitahu yang Sri Pantai adalah kawasan pertama yang mereka akan bina (laluan berbumbung). Kami harap mereka akan bina secepat mungkin,” katanya.
Tusiah berkata beliau mengingati Satishwaran kerana dia selalu bermain di kawasan bawah flat setiap petang.
“Dia selalu panggil saya ‘Kak Siah’ setiap kali kami berjumpa. Semua orang di sini tahu dia budak yang baik,” katanya. – 19 Januari, 2018.
Komen