Tidak bijak untuk sekolah dibuka semula pada September, kata pakar


Ravin Palanisamy Elill Easwaran

Pembukaan semula sesi persekolahan pada September memberi risiko jangkitan Covid-19 kepada pelajar. – Gambar fail The Malaysian Insight, 15 Ogos, 2021.

PAKAR kesihatan dan kumpulan ibu bapa dan guru menggesa Kementerian Pendidikan untuk mempertimbangkan semula keputusan untuk membuka sekolah pada September ketika kes Covid-19 masih tinggi.

Tiada perancangan dan persediaan jelas yang dikeluarkan oleh kementerian dan menjelang sesi pembelajaran secara bersemuka bermula 1 September ini, kata mereka. 

“Ia bukan satu idea yang baik untuk membuka sekolah pada September kerana kes Covid-19 terus meningkat,” kata Presiden Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN) Prof Dr Mohamad Ali Hasan.

Tambahnya beliau bimbang dengan penularan strain baharu seperti varian Delta dan Lambda.

Katanya banyak perkara yang perlu dipertimbangkan sebelum pelajar dibenarkan kembali ke kelas dan persediaan tidak sepatutnya dibuat tergesa-gesa.

“Mengenai kantin dan kawasan terbuka di sekolah, masih tiada SOP yang ditetapkan.

“Kerajaan perlu pertimbangkan untuk hanya membenarkan mereka yang sudah divaksin kembali ke sekolah,” tambahnya merujuk kepada guru dan kakitangan.

Kanak-kanak di bawah umur 18 tahun masih belum menerima vaksin Covid-19 walaupun kerajaan merancang untuk memulakan vaksinasi kepada kumpulan remaja berisiko berusia antara 12 hingga 15 tahun dan 16 hingga 17 tahun bermula pertengahan September.

Selepas beberapa bulan membuat penyesuaian, kaedah Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) juga menunjukkan perkembangan yang baik, tambah Ali.

“Jadi mengapa hentikan sedangkan kamu boleh teruskan dengannya.

“Keputusan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia tahun ini lebih baik berbanding lima tahun lalu jadi ia menunjukkan PdPR berkesan dan kita perlu kekalkan sehingga situasi lebih baik.”

Pelajar sekolah rendah meneruskan pembelajaran secara bersemuka pada Mac tahun ini, manakala pelajar sekolah menengah kembali ke kelas pada April.

Namun tidak sampai dua bulan kelas bermula, sekolah terpaksa ditutup sekali lagi pada awal Mei selepas penularan Covid-19 dikesan di sekolah.

Pada 17 Julai, Kementerian Pendidikan mengumumkan sekolah akan dibuka semula secara berperingkat untuk pembelajaran bersemuka bermula 1 September.

Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan Khairy Jamaluddin berkata semua kakitangan sekolah sudah divaksin ketika itu.

Bekas timbalan menteri kesihatan Dr Lee Boon Chye berkata pembukaan semula sekolah ketika negara merekodkan kes harian Covid-19 lima angka adalah tidak praktikal.

Katanya sekiranya kerajaan mempunyai strategi atau kajian untuk menyokong dakwaan kanak-kanak kurang terdedah kepada virus, ia perlu didedahkan kepada umum sebagai jaminan kepada ibu bapa untuk membenarkan anak mereka ke sekolah. – 15 Ogos, 2021.

Berita penuh di sini. 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen