TIGA pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di Sabah hari ini menyeru semua parti politik supaya duduk semeja membincangkan cadangan rangka persefahaman rentas parti dikemukakan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin demi kesejahteraan rakyat.
Timbalan Pengerusi Gabungan Persatuan Belia Bahagian Pedalaman Bawah Sabah Ag Marjohan Ag Amin, berkata dalam situasi negara masih berdepan pandemik Covid-19 adalah perlu semua tidak kira siapa, pihak mana, kerajaan atau pembangkang, bekerjasama demi menjaga kepentingan rakyat.
“Gencatan politik dan kerjasama bipartisan perlu bagi memberi lebih ruang dan peluang kepada kerajaan melaksanakan segala perancangan untuk melandaikan statistik dan bilangan mangsa Covid-19 ini.
“Kita tahu dan maklum dalam suasana pandemik dan politik ketika ini, pertukaran kerajaan dan kepimpinan negara tidak akan menjamin kestabilan dan kejayaan kepada perang Covid-19 atau mampu memberi manfaat kepada rakyat,” katanya dalam satu kenyataan.
Semalam Muhyiddin mengemukakan tujuh cadangan untuk dilaksanakan sekiranya usul undi percaya terhadap Perdana Menteri diluluskan pada persidangan Dewan Rakyat akan datang dan beliau akan menjemput semua pemimpin parti politik bukan Perikatan Nasional berbincang mengenai cadangan itu minggu depan.
Ag Marjohan berkata, golongan belia sudah bosan dengan permainan politik berlebihan, sehubungan itu menyeru semua pihak untuk bekerjasama membantu rakyat dalam menghadapi kepayahan dan kesukaran ketika menghadapi kesan pandemik Covid-19.
Beliau berkata, cadangan mengenai undi 18 dan mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada hanya dua penggal, dilihat dapat membawa pembabitan lebih ramai anak muda dalam menentukan kepimpinan negara selain memberi peluang kepada mereka menyampaikan aspirasi dan pandangan.
Pertubuhan Pengupayaan Masyarakat dan Pembangunan Ekonomi Sabah (Seeds) dalam kenyataannya pula meminta parti politik menghentikan sebarang bentuk percaturan politik dan menyelesaikan ketidakstabilan negara menerusi meja rundingan.
Menurut Seeds, cadangan reformasi institusi melalui pendekatan yang dicadangkan Muhyiddin akan memberi peluang kepada kerajaan dan pembangkang merangka dan menyusun semula tadbir urus pentadbiran negara seterusnya melaksanakan langkah berkesan menangani kesan Covid-19.
“Peluang reformasi sebesar ini seharusnya tidak disia-siakan pembangkang. Apa yang harus dilakukan sekarang ialah bagi kerajaan berbincang dengan pembangkang tanpa mengira perbezaan yang wujud dan memperhalusi cadangan ini,” katanya.
Sementara itu Presiden Pertubuhan Rumpun Etnik Sabah (Presbah) Yahya Ahmad, berkata semua pihak terutama pemimpin parti politik perlu berfikiran matang dan menyambut cadangan itu dengan berlapang dada demi kepentingan rakyat serta negara.
Beliau berkata, ketika negara diuji Covid-19 semua pemimpin parti politik, bermula di Sabah, perlu bersama mewujudkan situasi politik yang stabil dalam negara hingga semua usaha mencapai imuniti kelompok Covid-19 dapat direalisasikan.
“Rakyat sudah mendapat apa yang patut dari segenap bantuan, pelan bergerak lancar maka tempoh ingin mengadakan pilihan raya bulan Julai tahun depan sudah dikira bersesuaian,” katanya dalam satu kenyataan. – Bernama, 14 Ogos, 2021.
Komen