Rusia rekod kematian tertinggi Covid-19


RUSIA mencatat jumlah kematian Covid-19 tertinggi dalam tempoh tiga hari berturut-turut, ketika negara itu bergelut dengan varian Delta susulan program vaksinasi yang lembap.

Data kerajaan mengesahkan 819 kematian dalam tempoh 24 jam lalu dan 22,144 kes baharu.

Rusia, negara keempat paling teruk di dunia dari segi jumlah kes Covid-19, berdepan gelombang baharu jangkitan pada pertengahan Jun disebabkan varian Delta yang agresif.

Jumlah baharu itu menyaksikan kematian disebabkan Covid-19 sebanyak 169,683, jumlah paling tinggi di Eropah.

Bagaimanapun jumlah itu hanya mengambil kira kematian yang mana virus itu menjadi punca utama kematian selepas ujian autopsi.

Agensi statistik Rosstat menyatakan, Rusia sebenarnya menyaksikan lebih daripada 300,000 kematian berkaitan Covid-19 hingga akhir Jun.

Pihak berkuasa berdepan penduduk yang anti vaksin, dengan kaji selidik badan bebas Levada Centre minggu ini mendapati 55% warga Rusia tidak bercadang untuk mengambil vaksin.

Moscow, pusat utama penularan wabak itu di Rusia dan beberapa wilayah memperkenalkan langkah pengambilan vaksin secara mandatori untuk mempercepatkan usaha inokulasi dan Presiden Vladimir Putin berkali-kali menggesa rakyat negara itu supaya mengambil vaksin.

Rusia menghasilkan tiga vaksin buatan tempatan dan mereka tidak menggunakan mana-mana suntikan yang dibuat negara Barat.

Sehingga Sabtu, hanya 32 juta daripada 146 juta rakyat Rusia sudah divaksin sepenuhnya, menurut laman web Gogov yang mengumpul data Covid. – AFP, 14 Ogos, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen