260 kematian Covid-19, 1,096 di ICU 


Alfian Z.M. Tahir

Kementerian Kesihatan melaporkan 260 kes kematian Covid-19 dalam tempoh 24 jam lalu. Setakat ini 12,228 nyawa terkorban akibat wabak berkenaan di negara ini.– Gambar The Malaysian Insight oleh Najjua Zulkefli, 14 Ogos, 2021.

MALAYSIA merekodkan 260 kes kematian Covid-19 dalam tempoh 24 jam lalu, kata Dr Noor Hisham Abdullah hari ini.

Ketua pengarah kesihatan berkata jumlah itu menjadikan angka keseluruhan kes kematian kepada 12,228.

Dr Noor Hisham berkata jumlah keseluruhan kes jangkitan kini mencecah 243,942, dengan 1,096 pesakit dirawat di unit rawatan rapi dan 540 memerlukan alat bantuan pernafasan.

Sementara itu, 17,655 kes pulih turut direkodkan hari ini menjadikan jumlah keseluruhan kes pulih kepada 1,128,183.

Dr Noor Hisham berkata kes jangkitan baharu hari ini melibatkan 20,662 penularan tempatan, terdiri daripada 17,179 rakyat Malaysia dan 3,483 bukan warganegara serta lapan kes import. 

“Daripada 20,670 kes harian yang dilaporkan hari ini, 676 kes (3.3%) adalah dalam Kategori 3, 4 dan 5 manakala 19,994 kes (96.7%) adalah dari Kategori 1 dan 2,” katanya. 

Menurutnya, hanya 2,646 kes atau 12.8% daripada jumlah kes yang direkodkan hari ini telah menerima vaksin penuh (2 minggu selepas mendapat vaksin penuh). 

Dr Noor Hisham berkata 34 kluster baharu turut dikesan hari ini melibatkan 20 tempat kerja, 12 kluster komuniti, satu kumpulan berisiko tinggi dan satu kluster pusat tahanan. 

Data terbaharu juga menunjukkan kadar kebolehjangkitan Covid-19 atau R-naught (Rt) direkodkan di Perlis pada 1.41, melepasi Rt kebangsaan 1.05, kata Dr Noor Hisham. – 14 Ogos, 2021.


 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen