Hanya mesyuarat pengurusan Bersatu, kata Ahmad Faizal


Elill Easwaran

Ahmad Faizal bercakap kepada pemberita ketika meninggalkan kediaman perdana menteri di Bukit Damansara, Kuala Lumpur. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 14 Ogos, 2021.

PERJUMPAAN yang menjadi tumpuan hangat di kediaman Perdana Menteri petang ini adalah mesyuarat pengurusan parti Bersatu, kata timbalan presiden parti Ahmad Faizal Azumu susulan spekulasi Muhyiddin Yassin akan meletakkan jawatan seawal-awalnya Isnin ini.

Penasihat khas kepada perdana menteri yang baru dilantik itu berkata, mesyuarat itu hanya membincangkan mengenai perkara berkaitan parti namun enggan mengulas lanjut mengenainya.

“Satu kenyataan akhbar akan dikeluarkan oleh parti lewat hari ini,” kata Ahmad Faizal ketika beliau meninggalkan kediaman perdana menteri pada jam 5.45 petang.

Turut kelihatan meninggalkan kediaman itu adalah Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Mohamed Azmin Ali, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti Rina Mohd Harun dan Timbalan Menteri Belia dan Sukan Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal.

Media berkumpul di perkarangan kediaman itu ketika khabar angin bertiup kencang menyatakan Muhyiddin akan meletakkan jawatan selepas hilang majoriti di Dewan Rakyat.

Awal hari ini Menteri di Jabatan Perdana Menteri Mohd Redzuan Md Yusof berkata, tidak ada sebarang mesyuarat tergempar kabinet petang ini seperti dilaporkan sebuah portal berita.

Menteri dari parti Bersatu itu berkata, beliau tidak mendapat sebarang notis mengenai mesyuarat tersebut.

“Hingga kini saya tidak menerima sebarang notis mengenai mesyuarat itu. Biasanya, notis akan dihantar kepada menteri sebelum apa-apa mesyuarat.

“Kabinet sudah bermesyuarat minggu lalu,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Dalam usaha meraih sokongan, semalam Muhyiddin berjanji untuk memperkenalkan rang undang-undang bagi mengehadkan tempoh jawatan perdana menteri selain menyekat ahli parlimen daripada melompat parti.

Beliau turut menjanjikan jumlah peruntukan sama rata kepada semua ahli parlimen bagi keperluan kawasan pilihan raya mereka, termasuk bagi kerusi pembangkang. – 14 Ogos, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen