MB Perak cadang boleh 'dine-in' jika pekerja lengkap vaksin


Seorang lelaki memakai pelitup muka keluar dari restoran di Klang, Selangor. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 14 Ogos, 2021.

KERAJAAN negeri Perak mengemukakan cadangan kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) supaya aktiviti ‘dine-in’ (makan dalam premis) hanya dibenarkan selepas pekerja premis makanan serta hotel sudah lengkap dua dos vaksin Covid-19.

Menteri Besar Saarani Mohamad, berkata ia perlu dilaksanakan bagi mengekang penularan Covid-19 kerana apabila semua pekerja premis makanan dan hotel lengkap divaksinasi, ia mampu menjamin keselamatan pelanggan yang datang ke premis mereka.

“Semalam, semasa saya mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa kerja keselamatan negeri Covid-19, saya mengemukakan cadangan balas kepada jawatankuasa teknikal MKN kerana kami berpendapat lebih baik sekiranya pekerja restoran atau hotel keseluruhannya menerima vaksin terlebih dahulu.

“Jadi, saya berharap MKN mengambil kira cadangan balas daripada kerajaan negeri Perak,” katanya kepada pemberita selepas meninjau pos kawalan tempat kejadian perintah kawalan pergerakan diperketatkan Taman Meru 2B di Ipoh, hari ini.

Ahad lalu, Perdana Menteri Muhyiddin Yassin dalam pengumuman khas berkata, makan di premis dibenarkan bagi individu yang lengkap divaksinasi bermula 10 Ogos lalu di negeri yang beralih ke Fasa 2 Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Dalam perkembangan lain, Saarani berkata, mereka sedang mempertimbangkan untuk melaksanakan pemberian vaksin Covid-19 secara jumpa terus atau ‘walk-in’ di pusat pemberian vaksin (PPV) bagi golongan dewasa berumur 18 tahun ke atas.

Beliau berkata, pihaknya meneliti beberapa faktor antaranya bekalan vaksin yang mencukupi serta jumlah sasaran keseluruhan penerima vaksin.

“Kami tidak mahu vaksin secara ‘walk-in’ ini nanti menyebabkan orang ramai datang menyerbu ke tempat pemberian vaksin dalam satu-satu masa,” katanya.

Perak melaksanakan pemberian vaksin Covid-19 secara ‘walk-in’ di PPV awam bagi golongan warga emas bermula 3 Ogos lalu. – Bernama, 14 Ogos, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen