Tiada mesyuarat tergempar kabinet, kata menteri


Diyana Ibrahim

Pejabat Perdana Menteri di Putrajaya. – Gambar EPA, 14 Ogos, 2021.

BEBERAPA orang menteri menafikan satu mesyuarat tergempar kabinet akan berlangsung petang ini seperti didakwa dalam satu laporan portal berita.

Antaranya Menteri di Jabatan Perdana Menteri Redzuan Md Yusof yang berkata, setakat ini beliau tidak menerima sebarang notis pemakluman mengenai mesyuarat tersebut.

“Setakat ini saya tidak menerima sebarang notis mengenai mesyuarat tersebut kerana biasanya pemakluman mesyuarat kabinet akan diberitahu. Tapi ini sudah petang.

“Dan kita semua sudah mengadakan mesyuarat kabinet minggu lepas,” kata menteri dari Bersatu itu kepada The Malaysian Insight.

Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Zahidi Zainul Abidin turut menyatakan perkara sama dan menjelaskan beliau tidak tahu menahu mengenai mesyuarat itu.

“Saya tidak terima sebarang jemputan untuk mesyuarat, saya tidak tahu,” katanya.

Mereka diminta mengulas laporan Utusan Malaysia yang memetik kenyataan sumber mendakwa mesyuarat tergempar itu akan berlangsung petang ini.

Menurut laporan, mesyuarat di Putrajaya itu akan dihadiri oleh menteri dan timbalan serta ketua whip parti.

Perkembangan itu dilaporkan selepas pemimpin parti pembangkang menolak tawaran Muhyiddin Yassin untuk membolehkan beliau kekal sebagai perdana menteri.

Semua pemimpin parti yang bukan dalam blok Perikatan Nasional juga dengan tegas menuntut Muhyiddin meletak jawatan kerana tidak lagi menguasai majoriti sokongan ahli Parlimen. – 14 Ogos, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen