Ketua polis Kuala Muda perlu mohon maaf, kata peguam Roslei


Alfian Z.M. Tahir

ROSLEI Kamisan, lelaki yang ditahan kerana menghina Menteri Besar Kedah mahu meminta ganti rugi RM100,000 daripada ketua polis daerah Kuala Muda kerana kenyataan berunsur fitnah.

Peguam Roslei, Asheeq Ali Sethi Alivi dalam satu kenyataan berkata, anak guamnya itu turut meminta permohonan maaf secara terbuka daripada ACP Adzli Abu Shah.

Ia selepas Adzli membuat satu kenyataan akhbar pada 9 Ogos yang mana beliau menyifatkan Roslei yang turut dikenali sebagai Tok Abah sebagai seorang lelaki yang mempunyai rekod jenayah lampau dan masih disiasat kerana ugutan jenayah.

“Kenyataan daripada ketua polis itu tidak benar dan berunsur fitnah.

“Polis secara sengaja dan berniat jahat mengeluarkan kenyataan itu, menyedari ia akan dibaca oleh khalayak dan ini akan menjejaskan reputasi Roslei.

“Ini mencetus persepsi anak guam saya seorang penjenayah dan seorang yang tidak mematuhi undang-undang serta memberi gambaran dia seorang yang jahat,” kata Asheeq.

Adzli diberi tempoh 14 hari untuk memenuhi tuntutan Roslei, sekiranya gagal tindakan undang-undang akan diambil.

Pada Isnin, Roslei, 61, ditahan di rumahnya di Lenggeng, Negeri Sembilan kerana didakwa mengeluarkan kata-kata kesat terhadap Mohamad Sanusi Md Nor dalam video Facebook berdurasi sembilan minit.

Penahanan itu dilakukan selepas Roslei memaki hamun Sanusi kerana gurauan Menteri Besar Kedah itu mengenai kontena sejuk beku mayat mangsa Covid-19.

“Penahanan dibuat susulan laporan polis daripada pegawai khas Sanusi semalam. Kami menahan lelaki itu kira-kira jam 3.47 pagi Isnin.”

“Kami merampas satu telefon bimbit kepunyaan lelaki itu. Siasatan menunjukkan dia mempunyai rekod lampau, yang masih disiasat di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana ugutan jenayah,” Adzli sebelum ini memberitahu The Malaysian Insight.

Video itu dimuatkan dalam laman Facebook ‘Kamal Hero Malaya’. – 14 Ogos, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen