SEORANG warga emas ditemui dalam keadaan tidak sedar selepas didakwa menelan 15 biji pil Ivermectin iaitu sejenis ubat parasit untuk kegunaan haiwan, menurut Pusat Racun Negara.
Ia merupakan antara kes paling awal mengenai keracunan disebabkan pengambilan pil itu, menurut kenyataan disiarkan platform media sosial Kementerian Kesihatan Malaysia.
Statistik tersebut mula didedahkan kementerian selepas penjualan pil tersebut mula dikesan dalam talian dengan dakwaan ia mujarab sebagai terapi kendiri untuk merawat Covid-19.
Dakwaan tersebut disangkal kementerian yang menjelaskan, Ivermectin masih belum diluluskan sebagai rawatan atau pencegahan jangkitan Covid-19 di Malaysia.
“Namun, didapati terdapat aktiviti penjualan ubat ini secara tidak sah sedang berlaku. Pengambilan Ivermectin tanpa kajian mendalam dan dos yang tidak betul boleh mengakibatkan keracunan.
“Ivermectin boleh menyebabkan kesan mudarat seperti muntah, cirit, sakit perut, dan pening. Kesan yang teruk pula adalah tekanan darah rendah, sesak nafas, kerosakan paru-paru, dan kematian.
“Malangnya, tiada antidot atau rawatan spesifik untuk kes keracunan ini. Oleh itu, elakkanlah pengambilan Ivermectin untuk rawatan kendiri,” kenyataan itu dipetik.
Ia turut mendedahkan kes paling awal yang diterima pusat tersebut melibatkan pengguna berumur 35 tahun yang hanya mengambil 1 biji Ivermectin,
“Akibatnya, pengguna tersebut telah mengalami gejala sesak nafas yang berpanjangan sehingga lima hari selepas pengambilan,” jelas pusat tersebut. – 14 Ogos, 2021.
Komen