Jawatan PM bukan hak sesiapa, kata Guan Eng kepada Muhyiddin


Lim Guan Eng berkata tiada sesiapa yang berhak ke atas jawatan perdana menteri selepas Muhyiddin Yassin terus enggan berundur walau hilang sokongan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 14 Ogos, 2021.

JAWATAN perdana menteri bukan hak sesiapa, kata Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng hari ini.

Kenyataan Lim itu dikeluarkan selepas Muhyiddin Yassin mengulangi pendiriannya tidak akan berundur dan meminta sokongan ahli Parlimen pembangkang dengan janji pembaharuan.

Tambah Lim, semua pihak juga tidak sepatutnya taksub tentang soal siapa perdana menteri seterusnya, kerana isu terpenting sekarang adalah membetulkan semula salah tadbir pengurusan pandemik dan ekonomi dibuat sepanjang Muhyiddin dan Perikatan Nasional mentadbir.

“Tiada sesiapa yang berhak untuk menjadi perdana menteri, tetapi kelayakan (menjadi PM) perlu berasaskan potensi keupayaan dan kemampuan mengatasi pandemik Covid-19, kemelesetan ekonomi dan komitmen kepada pembaharuan institusi bagi membolehkan Malaysia muncul sebagai negara maju.

“Dalam kata lain, ketaksuban nasional tidak sepatutnya tentang siapa perdana menteri tetapi apakah Pelan Pembetulan Semula Covid-19 bagi membetulkan kegagalan kerajaan semasa dan pelan normalisasi ekonomi untuk meletakkan semula Malaysia (di landasan sepatutnya),” kata Lim.

“Pilihan DAP jelas tentang siapa sepatutnya menjadi perdana menteri seterusnya selaras dengan mandat Pakatan Harapan (PH),” kata ahli Parlimen Bagan dan bekas menteri kewangan itu lagi.

Beliau bagaimanapun tidak menamakan Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim dalam kenyataan itu, tetapi pendirian PH selama ini adalah Anwar yang juga presiden PKR adalah calon perdana menteri mereka.

Presiden PKR Anwar Ibrahim adalah calon perdana menteri Pakatan Harapan.  – Gambar fail The Malaysian Insight, 14 Ogos, 2021.

Tambah Lim lagi, tumpuan negara juga perlu diarahkan kepada pembaharuan institusi yang boleh dilakukan melebihi tawaran dibuat Muhyiddin.

Walaupun jelas yang Muhyiddin “tiada pilihan lain selain meletak jawatan”, DAP tidak mahu pilihan raya umum diadakan memandangkan kes Covid-19 masih tinggi, kata Lim lagi. 

Semalam, Muhyiddin ketika perutusan khas yang disiarkan secara langsung memohon sokongan bipartisan untuknya berdepan usul undi tidak percaya terhadapnya di Parlimen, bulan depan.

Katanya, beliau tidak akan berundur kerana tiada ahli Parlimen lain yang mempunyai sokongan majoriti untuk menggantikannya, dan perletakan jawatannya hanya akan menyusahkan negara yang ketika ini sangat memerlukan kestabilan bagi memerangi pandemik Covid-19.

Peguam dan pembangkang bagaimanapun tidak bersetuju dengan alasan itu.

Muhyiddin Yassin tampil secara langsung semalam menawarkan janji pembaharuan untuk wakil rakyat menyokongnya supaya terus menjadi perdana menteri. – Gambar fail The Malaysian Insight, 14 Ogos, 2021.

Menurut mereka, Perlembagaan Persekutuan hanya memerlukannya yang sudah hilang sokongan majoriti untuk meletak jawatan atau meminta perkenan Yang Di Pertuan Agong untuk membubarkan Parlimen yang sekalipun tidak diperkenan, masih memerlukan Muhyiddin berundur.

Muhyiddin dipercayai hanya memiliki sokongan 100 wakil rakyat selepas 14 ahli Parlimen dari Umno menarik balik sokongan terhadapnya sejak dua minggu lepas.

Dewan Rakyat mempunyai 222 kerusi tetapi hanya ada 220 ahli Parlimen selepas kematian dua wakil rakyat tahun lepas.

Sebagai balasan menyokongnya dalam usul undi tidak percaya bulan depan, Muhyiddin menjanjikan antara lain penggubalan undang-undang menghadkan penggal pentadbiran perdana menteri dan akta anti lompat parti.

Beliau juga menjanjikan peruntukan saksama kepada semua ahli Parlimen bagi memenuhi keperluan kawasan diwakili mereka termasuklah di kerusi yang dipegang pembangkang. – 14 Ogos, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen