Guan Eng, Teng saling saman fitnah ‘menipu’


Looi Sue-Chern

Lim Guan Eng dan Pemimpin BN Pulau Pinang Teng Chang Yeow mengesahkan mereka akan saling saman menyaman kerana dakwaan "menipu" pembayaran projek kontroversi terowong dan lebuh raya di negeri itu. – Gambar The Malaysian Insight oleh David S.T. Loh, 19 Januari, 2018.

KETUA Menteri Pulau Pinang dan Pengerusi Barisan Nasional Negeri Teng Chang Yeow mengesahkan yang mereka akan menyaman satu sama lain kerana fitnah dalam pertikaian mereka berkaitan projek terowong dasar laut dan lebuh raya.

Kedua-dua ahli politik itu yang merupakan ketua Pakatan Harapan dan BN negeri dilaporkan menuduh satu sama lain “menipu”.

Teng yang merupakan pengerusi Gerakan negeri berkata beliau sudah mengarahkan peguamnya menyaman Lim kerana memfitnah dalam kenyataan yang dikeluarkan Rabu lepas.

“Pada sidang medianya semalam (Khamis), Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng memutuskan untuk menyaman saya.

“Bagaimanapun, Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng masih mengelak daripada menjawab soalan penting yang saya bangkitkan, yang diambil daripada catatan Facebook dan jawapan (persidangan) Dewan Undangan Negeri,” katanya hari ini.

Teng berkata tindakan Lim mengelak memberikan jawapan kepada soalan yang dibangkitkannya, sebaliknya mengatakan mahkamah akan menentukan apakah kebenaran dalam projek terowong dasar laut itu.

Pemimpin BN itu berkata sangat mustahak untuk Lim menjawab soalan yang dibangkitkan demi kepentingan rakyat.

“Dia tak boleh elak jika dia patuh kepada prinsip CAT (cekap, akauntabiliti dan telus).”

Tuduh menuduh “menipu” antara Teng dan Lim bermula Rabu lepas apabila Teng menimbulkan persoalan mengenai bayaran pertukaran tanah yang dibuat kepada kontraktor projek, bayaran tunai upah kepada perunding kejuruteraan bebas bagi memeriksa dakwaan dan kerja kontraktor serta pihak lain.

Teng bertanya sekiranya kerajaan negeri menipu tentang tidak membayar “sesenpun” untuk projek itu. Beliau tidak menyebut nama Lim ketika menimbulkan persoalan itu.

Pada Rabu, Lim mencabar Teng supaya berani menyatakan Lim Guan Eng menipu tentang bayaran projek itu supaya beliau boleh membuktikan kebenaran di mahkamah.

Semalam, Teng berkata jika Lim “mahu sangat” namanya disebut, beliau akan berbuat demikian pada sidang media seterusnya.

Ketua Biro Undang-Undang Gerakan Baljit Singh berkata beliau menyokong tindakan undang-undang diambil Teng kepada ketua menteri.

“Ini bukan (isu) politik. Ia berkaitan isu kepentingan rakyat. Ia berkaitan kehidupan rakyat dan alam sekitar,” kata peguam itu.

Selain akan menyaman Teng, Lim juga mengatakan beliau akan menyaman akhbar The Star, New Straits Times, Berita Harian dan Utusan Malaysia mengenai “kenyataan menipu” itu.

“Saya perlukan platform untuk saman Teng,” katanya apabila ditanya mengenai tindakan undang-undang kepada media pro-BN itu.

Semalam, Lim mengumumkan yang beliau sudah mengarahkan peguamnya memulakan tindakan undang-undang ke atas pemimpin Gerakan kerana menuduhnya menipu tentang bayaran dilakukan kerajaan negeri dalam projek kontroversi itu.

Projek terowong dasar laut serta tiga lebuh raya itu menjadi tumpuan negara selepas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) melancarkan siasatan rasmi mengenainya awal bulan ini.

SPRM sudah menyerbu beberapa jabatan kerajaan negeri dan pejabat kontraktor projek dan sekutunya termasuklah pemaju hartanah itu; menembual saksi dan menahan reman dua pengarah syarikat yang terlibat dalam projek itu untuk membantu siasatan. – 19 Januari, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen