Tawaran PM pemikiran di luar kotak, kata Annuar Musa


Tawaran dibuat Muhyiddin Yassin satu pemikiran di luar kotak, kata Annuar Musa. – Gambar fail The Malaysian Insight, 14 Ogos, 2021.

TAWARAN reformasi Perdana Menteri Muhyiddin Yassin satu pemikiran di luar kotak bertujuan menghentikan percaturan serta melaraskan semula politik Malaysia dengan membentuk satu budaya politik baharu, kata Annuar Musa.

Tawaran itu juga selari dengan hasrat rakyat dan Raja-Raja Melayu, kata Ahli Parlimen Ketereh itu, merujuk tinjauan sentimen rakyat dan titah ucapan beberapa Sultan yang memerintah.

“Tawaran jalan keluar menerusi pelan transformation bersifat bipartisan dan inklusif serta fokus kepada pemulihan nasional seperti diketengahkan perdana menteri adalah satu bentuk pemikiran luar kotak yang wajar direnungi.

“Pendekatan ini mungkin boleh membawa kepada satu reset dan pembudayaan politik matang yang baru,” katanya dalam satu komentar di Facebook.

Semalam Muhyiddin menawarkan tujuh pembaharuan sebagai balasan mendapatkan sokongan ahli Parlimen pembangkang di Parlimen untuk pentadbirannya kekal selepas sejumlah ahli pPrlimen Umno menarik sokongan mereka.

Tawaran itu adalah cadangan reformasi kerajaan Pakatan Harapan sebelum ini, termasuk mengehadkan tempoh jawatan perdana menteri kepada dua penggal serta mengukuhkan institusi Parlimen.

Muhyiddin juga mahu menurunkan kelayakan umur mengundi kepada 18 tahun tanpa perlu menunggu pendaftaran automatik pengundi.

Tawaran dibuat menjelang undian percaya kepada perdana menteri pada 7 September ketika kerajaan Muhyiddin kini dipercayai mempunyai hanya 100 sokongan daripada 220 anggota Dewan Rakyat.

Menurut Annuar, kelompok yang terperangkap dengan politik dendam dan kepuakan akan melihat negatif tawaran Muhyiddin.

“Namun bagi yang tulen mencari kebaikan untuk rakyat, yang ingin berkhidmat, dan yang ingin melihat reformasi berlaku, tawaran ini pastinya wajar disusuli,” katanya.

Rakyat akan rasa terjamin di bawah naungan politik matang dan panjang akal sekiranya pembaharuan itu dapat dilaksanakan.

Bekas setiausaha agung Umno turut menggesa partinya agar menyelami tawaran itu demi kebaikan rakyat.

“Asas pertimbangan adalah kebaikan untuk rakyat. Sekiranya keutamaan kepada kebaikan untuk rakyat diabaikan, kita bakal dihukum oleh para pengundi,” tambahnya.

Beberapa pihak menyifatkan tawaran Muhyiddin satu pengakuan kerajaannya hilang keabsahan dan beliau tiada pilihan selain letak jawatan.

Beberapa pihak juga menganggap tawaran Muhyiddin sogokan dan menggesa agensi antirasuah menyiasat, antaranya Pemuda PKR. – 14 Ogos, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen