RUSIA mencatatkan jumlah kematian koronavirus tertinggi untuk hari kedua berturut-turut pada Jumatt, ketika Moscow menarik balik beberapa sekatan.
Data kerajaan menunjukkan 815 kematian Covid-19 bagi tempoh 24 jam terakhir dan 22,277 kes baharu.
Rusia, negara keempat paling terjejas di dunia dari segi kes, sejak pertengahan Jun dilanda gelombang jangkitan baharu disebabkan oleh varian Delta yang sangat menular.
Angka baharu itu menjadikan jumlah kematian Rusia akibat Covid-19 kepada 168,864 - jumlah tertinggi di Eropah.
Namun, ia hanya mengambil kira kematian yang menyatakan virus sebagai penyebab utama kematian selepas bedah siasat.
Di bawah definisi lebih luas bagi kematian berkaitan koronavirus, agensi statistik Rosstat berkata Rusia menyaksikan lebih 300,000 kematian pada akhir Jun.
Dan pada Jumaat, jabatan kesihatan Moscow melaporkan bandar itu menyaksikan 6,583 kematian akibat virus itu pada Julai, menjadikannya bulan paling tragis sejak bermulanya wabak tersebut.
Pelaksanaan vaksinasi perlahan
Pihak berkuasa berdepan penduduk yang skeptikal terhadap vaksin, dengan tinjauan oleh Pusat Levada minggu ini menunjukkan 55% penduduk Rusia tidak merancang untuk mengambil suntikan.
Moscow serta beberapa wilayahnya memperkenalkan langkah mandatori untuk mempercepatkan usaha vaksinasi negara, dan Presiden Vladimir Putin berulang kali meminta rakyat Rusia mendapatkan vaksin.
“Sudah tentu tidak baik dengan kematian meningkat begitu cepat meningkat. Saya harap rakyat akan mendapatkan vaksin lebih cepat,” kata Nikita, seorang pekerja bank di Moscow, kepada AFP.
Rusia mempunyai tiga vaksin keluaran tempatan untuk penduduk dan tidak memberi vaksin buatan Barat.
Sehingga Jumaat, lebih 30 juta daripada sekitar 146 juta penduduk Rusia mendapat vaksinasi lengkap, menurut laman web Gogov.
Moscow pada Jumaat meneruskan langkah melonggarkan sekatan virus, Datuk Bandar Sergei Sobyanin menarik syarat majikan membenarkan sekurang-kurangnya 30% pekerja yang bekerja dari rumah.
Georgia, bekas republik Soviet di Kaukasus, mengetatkan sekatan minggu ini ketika jangkitan baharu meningkat.
Langkah yang diumumkan pada Khamis termasuk penangguhan pengangkutan awam di bandar-bandar Georgia dan larangan mengadakan himpunan besar seperti festival, konsert dan acara sukan.
Sekatan akan berlangsung dari 14 Ogos hingga 4 September.
“Situasi wabak di negara ini sukar dan kami berharap peraturan baharu dapat menstabilkan penyebaran jangkitan dalam tempoh dua minggu,” kata Menteri Kesihatan Georgia Ekaterine Tikaradze pada Jumat. – AFP, 14 Ogos, 2021.
Komen