TAWARAN Perdana Menteri Muhyiddin Yassin untuk bekerjasama dengan pembangkang menemui jalan buntu berikutan wakil rakyat pembangkang tetap berkeras mendesaknya meletakkan jawatan.
Mereka berkata tawarannya untuk bekerjasama dengan pembangkang adalah tindakan terdesak untuk terus memegang jawatan dan ia dibuat susulan jumlah sokongan tidak mencukupi di Dewan Rakyat.
Katanya, pengerusi Bersatu itu juga ada masalah percaya dengan pembangkang tetapi tidak menyentuh tentang Kabinet Perikatan Nasional (PN) yang tidak cekap.
Ahli Parlimen Klang Charles Santiago berkata Muhyiddin terdesak dan itu sebabnya beliau cuba bekerjasama dengan pembangkang.
“Pengumuman Muhyiddin hari ini memberi gambaran beliau tidak ada sokongan majoriti.
“PM terdesak, kerana keterdesakan itu beliau cuba buat begitu. Semuanya sudah berakhir untuknya,” katanya kepada The Malaysian Insight.
Petang tadi, Muhyiddin memberikan tawaran kepada ahli Parlimen pembangkang untuk mendapatkan sokongan bipartisan untuk menerajui negara ini keluar dari pandemik Covid-19.
Katanya, beliau tidak akan meletak jawatan tetapi Kabinetnya bersetuju rundingan akan diadakan dengan pemimpin parti di luar PN sebelum usul undi percaya dibawa ke Parlimen untuk menguji majoritinya bulan depan.
Santiago berkata Muhyiddin sudah diberikan peluang untuk mentadbir tetapi keadaan pandemik semasa adalah testimoni terhadap kegagalannya.
“Sama ada kerajaan ini patut diberikan lanjutan, jawapannya tidak. Jika pembangkang sokong beliau, maka kita sokong kegagalannya.”
Ahli Parlimen Kepong Lim Lip Eng berkata beliau tolak semua cadangan kerajaan.
“Saya tolak pendekatan Muhyiddin kerana saya tidak percaya padanya. Saya mahu beliau letak jawatan sekatang.”
Ahli Parlimen Segambut Hannah Yeoh berkata masalah terbesarnya dengan PN ialah barisan menterinya yang tidak cekap, membawa Malaysia ke dalam masalah sekarang.
“Ucapan hari ini tidak menangani ketidakcekapan dan tiada perubahan dalam membantu Malaysia keluar daripada keadaan sekarang.” – 13 Ogos, 2021.
Berita penuh di sini.
Komen