VARIAN Lambda masih belum dikesan di Malaysia setakat ini, kata Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah.
“Namun kita akan tingkatkan penjujukan genom dan pengesanan,” katanya pada sidang media mingguan bersama Menteri Kesihatan Dr Adham Baba dan pegawai kanan kementerian lain.
Dr Noor Hisham berkata kawalan sempadan juga penting untuk mengelakkan varian yang membimbangkan (VOC) daripada memasuki negara menerusi mereka yang kembali dari luar negara.
“Kita telah mengawal kes dari luar negara dan kini kita gunakan gelang tangan elektronik.
“Kita akan menilai risiko mereka yang kembali dari luar negara dan memastikan mereka menjalani kuarantin 14 hari. Kita juga akan menjalankan penilaian risiko sebelum membenarkan mereka bercampur dengan komuniti,” katanya.
Sementara itu, Dr Adham menambah mereka yang kembali ke Malaysia perlu menjalani kuarantin selama tujuh hari sebelum pulang. Ini akan membolehkan pihak berkuasa menentukan sama ada individu berkenaan boleh dikuarantin di rumah dengan gelang pengesan digital atau di hotel.
Varian Lambda mula dikesan di Peru dan diklasifikasikan sebagai Varian of Interest oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan menular di benua Amerika Selatan.
Bagaimanapun butiran mengenainya masih terhad kerana kajian masih dijalankan. – 13 Ogos, 2021.
Komen