SEMUA ahli Parlimen perlu menolak Perdana Menteri Muhyiddin Yassin dan menyokong Anwar Ibrahim sebagai calon penggantinya, kata Pakatan Harapan (PH).
Majlis Presiden PH dalam satu kenyataan hari ini berkata mengajak semua pihak yang menentang Muhyiddin duduk semeja dan berunding bagi membentuk sebuah kerajaan yang inklusif, adil dan progresif demi masa depan negara.
“Amatlah penting semua pihak dapat bersatu di bawah sebuah kerajaan berjiwa rakyat yang mampu memperbetul segala kepincangan dan kegagalan Perikatan Nasional menjelang undi percaya terhadap perdana menteri nanti.
“Ini supaya sebarang pengambil alihan kerajaan hanya akan berlaku bersama pihak-pihak yang bersetuju dengan prinsip-prinsip dan landasan perjuangan termasuk reformasi institusi, tatakelola dan urus tadbir yang baik, dan institusi kehakiman yang bebas,” katanya.
Kenyataan turut menyebut hanya 100 ahli Parlimen yang menyokong Muhyiddin sebagai perdana menteri, manakala 120 lagi menentang.
“Namun beliau enggan meletakkan jawatan secara terhormat berdasarkan Perkara 43(4) Perlembagaan Persekutuan.
“Oleh itu, Majlis Presiden menjemput semua ahli Parlimen yang menentang dan menolak Tan Sri Muhyiddin Md Yassin untuk bersama menyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai calon perdana menteri untuk membuktikan sokongan serta membentuk satu majoriti baharu di Parlimen.”
Isnin lalu, Umno mengesahkan 14 ahli Parlimen parti itu menarik balik sokongan kepada kerajaan Perikatan Nasional, dan bukan lapan seperti yang disebut dalam kenyataan Muhyiddin minggu lepas.
Dalam perutusan khas pada 4 Ogos, Muhyiddin berkata beliau masih ada sokongan yang cukup untuk terus menerajui kerajaan namun akan merujuk keabsahannya di Parlimen apabila Dewan Rakyat bersidang September ini.
Majlis Presiden PH dalam pada itu juga menyatakan ia tidak bersetuju pilihan raya umum diadakan terutamanya ketika penularan Covid-19 masih belum reda.
Ia turut mengulangi pendirian untuk menyokong Anwar sebagai calon perdana menteri.
“Rakyat berharap para pemimpin politik akan dapat mencapai penyelesaian yang mampu merungkai masalah ini dan seterusnya membolehkan kepimpinan berwibawa tampil untuk membantu negara membendung penularan wabak Covid-19 dan memacu pemulihan ekonomi pasca-pandemik.” – 13 Ogos, 2021.
Komen